Isu Diesel; Presiden PAS Bawa Suara Rakyat, Bukan Retorik Politik

231

KUALA TERENGGANU – Kenyataan tegas Presiden PAS berhubung isu kenaikan harga diesel dilihat bukan sekadar retorik politik, sebaliknya mencerminkan keresahan sebenar rakyat yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup.

Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, peningkatan harga diesel di Semenanjung telah menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat, khususnya apabila wujud perbezaan ketara berbanding Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, alasan kerajaan yang mengaitkan kenaikan harga dengan faktor global seperti konflik geopolitik dan pasaran dunia tidak menjawab persoalan utama rakyat.

“Apa yang dibangkitkan oleh Presiden PAS adalah suara marah rakyat.

“Jika benar faktor luaran menjadi punca, mengapa rakyat di Sabah dan Sarawak tidak menerima kesan yang sama seperti di Semenanjung?” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mempersoalkan mengapa beban kenaikan harga diesel dilihat lebih tertumpu kepada rakyat Semenanjung, sedangkan Malaysia merupakan negara pengeluar petroleum dan mempunyai sumber asli yang mencukupi.

Tambahnya, keadaan itu menimbulkan persepsi bahawa wujud kelemahan dalam pengurusan serta ketirisan yang menyebabkan rakyat tidak dapat menikmati hasil kekayaan negara.

“Malaysia bukan negara miskin minyak. Kita ada petroleum, gas dan hasil bumi. Tetapi rakyat tidak merasai manfaat sepenuhnya kerana masalah salah urus dan ketirisan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kenaikan harga diesel memberi kesan langsung kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya mereka yang bergantung kepada bahan api itu untuk mencari rezeki.

“Yang terkesan bukan tauke besar. Yang terhimpit ialah peniaga kecil, nelayan, petani, pengusaha lori, van sekolah dan keluarga biasa yang perlu mengira setiap perbelanjaan harian,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan rakyat bukan menolak dasar ekonomi, tetapi mempersoalkan ketidaksamarataan yang dilihat berlaku dalam pelaksanaan subsidi antara wilayah.

“Rakyat nampak double standard yang jelas. Sabah dan Sarawak diberi kelebihan atas faktor kos hidup dan geografi, tetapi rakyat Semenanjung seolah-olah dibiarkan menanggung beban sendirian,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan pemimpin kerajaan yang meminta agar isu diesel tidak dipolitikkan sebagai tidak sensitif terhadap realiti yang dihadapi rakyat.

“Bagaimana rakyat tidak bercakap tentang diesel sedangkan ia memberi kesan kepada harga makanan, kos pengangkutan, pertanian dan keseluruhan rantaian ekonomi?” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan agar lebih peka dan mengambil langkah menyeluruh dalam menangani isu berkenaan supaya tidak terus menekan kehidupan rakyat.

“Pemimpin yang benar akan bersama rakyat ketika susah. Jangan sampai kerajaan dilihat bukan lagi sebagai pelindung, tetapi menjadi beban kepada rakyat,” katanya.