‘Islam Mahathir’; Syariat Salah, Lojik Pun Tak Betul

3284

Hari ini saya memilih untuk berlawan dengan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad atas tulisan beliau yang kelihatan sangat jauh menyimpang dari kebenaran islam. Perangai dahulu yang masih dikekalkan oleh beliau iaitu memporak perandakan Islam mengikut selera lojik dan nafsu beliau. Mungkin masih ramai yang belum melupakan penghinaan beliau kepada Allah dengan menghina hudud, hukuman jelas di dalam al-Quran dan juga penghinaan Rasulullah saw berkenaan janggut dan penolakan beliau terhadap hadis-hadis rasulullah. Saya akan pergi kepada poin-poin beliau untuk membuktikan beliau sememangnya salah dalam menafsirkan Islam. Sila rujuk poin tulisan beliau yang saya sertakan.

Pada perkara (4) dalam tulisannya, Tun menganggap hadis, sunnah dan perkara sunat adalah perkara yang sama iaitu sunat melakukannya dan tidak berdosa meninggalkannya. Amat malang bagi Tun kerana ianya sangat salah. Bagaimana mahu melakukan solat sempurna jika tiada hadis yang menerangkan? Silalah Tun tunjukkan dari al-Quran tatacara solat dan juga rakaatnya. Jika ada pada hadis tatacara melakukan solat dengan menurut rukun yang sempurna, maka adakah ianya hanya sunat dilakukan? Begitukah pemahaman Tun? Ada hadis haram, maka haram kita lakukan, ada hadis wajib, maka wajib kita lakukan. Bukan Hadis dan Sunnah itu bermaksud ibadat sunat.

Pada perkara (5) Tun amat cerdik kerana dari mula tulisan beliau, telah membuang kepentingan hadis. Jadi jika bercakap mengenai hadis, maka tiada maknanya bagi beliau. Sayang Tun tidak menyenaraikan perbezaan itu menerusi ayat al-Quran juga seperti hukum hudud daripada ayat surah an-Nur yang jelas menyebut perlukan empat orang saksi dan hukum sebat 100 rotan jika sekalipun tidak mahu menggunakan hadis. Ini hanya satu daripadanya.

Perkara (7 dan 8), Tun gagal memahami hukum hudud. Jika sekiranya tidak dikenakan hudud, Islam masih ada hukuman takzir. Dengan syarat bukti dan saksi yang benar. Berapa banyak kes zina yang berlaku atas dasar suka sama suka, tetapi akhirnya menjadi kes rogol kerana penipuan oleh perempuan? Adakah menganiaya lelaki tidak dikira dosa di dalam Islam? Tun juga gagal memahami bahawa hukuman yang adil bukan hukuman di dunia tetapi di akhirat. Juga taubat pendosa itu lebih Allah sukai daripada menghukum. Sebab itulah lebih baik dilepaskan orang yang bersalah daripada dihukum orang yang tidak bersalah. Adakah “adil” bagi Tun ialah setiap orang yang dituduh merogol mesti dia bersalah walaupun bukti merapu? Tuduhan liwat ke atas Anwar masih Tun pertahankan atau tidak? Atau mungkin ini caranya Tun mahu menegaskan bahawa tindakan Tun kepada Anwar adalah betul?

Perkara (11, 12, 13 dan 14), Tun masih terperangkap dalam pemikiran lama beliau semenjak menentang hukum Allah. Cuma kali ini tidak ditulis kalau mahu makan sup tangan pilihlah hudud. Adakah sebodoh itu orang Islam mahu dikerat tangan mereka ? Mencuri juga ada beberapa kategorinya, nisabnya dan keadaan ketika itu. Islam mempunyai ulamak muktabar yang membincangkan isu ini. Ada yang setuju bukan Islam turut dikenakan, ada yang tidak setuju. Tetapi mereka bersepakat bahawa hukum potong tangan adalah dari Allah. Jika dikenakan hukuman sivil kepada bukan Islam dan jika mereka kembali mencuri, maka yang mencuri nanti adalah terdiri daripada bukan Islam sahaja. Orang Islam sudah tentu tidak akan mengulanginya lagi kerana sayangkan tangan. Jadi siapa yang dilihat jahat kerana tak puas-puas mencuri?

Pada perkara (15, 16 dan 17), Tun bermain dengan penafsiran surah Yusuf menggunakan akalnya. Nabi Yusuf syariatnya lain. Kita umat rasulullah syariatnya lain. Jika benar mahu menggunakan lojik surah Yusuf, maka arak tidak haram kerana disebut berkenaan penghidangan arak di surah ini. Sujud kepada manusia juga dibenarkan kerana disebut secara jelas nabi Yaakub isteri dan adik beradik nabi Yusuf, sujud kepada nabi Yusuf setelah mereka bertemu kembali. Begitukah syariat Islam diambil? Sudah jauh tersesat nampaknya Tun. Surah an-Nur yang menyebut keperluan empat orang saksi itu masih belum beliau sebut.

Perkara (20, 21 dan 22), Jika Tun boleh mempertikaikan hadis kerana imam-imam hadis itu adalah manusia biasa, maka Tun juga sepatutnya juga mempertikaikan al-Quran kerana al-Quran dan hadis datangnya dari jalur yang sama iaitu sahabat-sahabat. Sahabat-sahabat adalah manusia biasa. Mereka bukan maksum. Jadi kemungkinan salah itu juga ada mengikut lojik Tun. Firman Allah dikira sebagai ayat al-Quran. Ada juga dikira sebagai hadis qudsi. Tetapi apa yang rasulullah sebutkan bukan firman khusus dari Allah, ia dikira hadis. Sumbernya sama, rasulullah dan pembawanya juga sama bagi kedua-dua al-Quran dan hadis iaitu para sahabat. Jadi kenapa menolak hadis dan menerima al-Quran? Perlu diingat, bukan semua sahabat melihat sendiri Jibril ketika wahyu diturunkan. Tun sendiri tidak pernah melihat Jibril, jadi bagaimana mungkin Tun yakin al-Quran daripada Allah?

Kesimpulannya Tun masih mempertahankan pendirian lama beliau dengan sikap prejudis beliau terhadap Islam yang walaupun sudah dibuktikan salah, tetapi beliau tidak pernah melafazkan taubatnya. Ketika beliau menjadi PM pendapat beliau ini ditentang hebat oleh beberapa ikon di dalam PH seperti Mat Sabu, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin yang dahulunya mendaulatkan jalan Islam bersama PAS. Dan sekarang pendirian Tun bagaikan dijulang oleh mereka kerana kebersamaan. Adakah ini yang dikatakan sebagai konsensus?

Inilah sikap yang PAS tentang sehingga dibenci oleh orang sendiri. Kegilaan ke Putrajaya, menjadikan diri hamba kepada kebatilan. Betapa hinanya pilihan hidup sebegitu. PH dan Umno sama-sama jahil di dalam agama. Lebih malang kerana kedua-duanya mempunyai golongan yang tahu agama tetapi menjadi syaitan bisu kerana gilakan kuasa. Bukan sahaja gagal memartabatkan Islam, malah dibiarkan Islam itu dipijak-pijak samada oleh orang Islam yang bencikan Islam, mahupun mereka yang bukan Islam. Alhamdulillah semakin hampir dengan pengundian, semakin jelas jalan yang berbeza yang dipilih oleh Gagasan Sejahtera yang diterajui PAS bagi memartabatkan Islam dengan jalan yang menghina Islam pilihan PH dan Umno-BN.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
13 Rejab 1439/ 31 Mac 2018