Kebuntuan penyata hutang terperinci yang menjadi salah satu masalah teras peneroka Felda yang menyerahkan pengurusan kebun mereka sejak 10 tahun lalu kepada Felda Technoplant akan diselesaikan sepenuhnya di 11 Wilayah Felda melibatkan 317 tanah rancangan.
Ini janji Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad di Dewan Semai Bakti, Felda Gunung Bongsu Kedah. Walaupun beliau memberi jaminan , kami sukar mempercayainya kerana sebelum ini janji yang sama biasa didengar dan bila sampai masanya perkara yang dijanjikan senyap dan berlarutan.


Semua perkara yang Pengerusi Felda sebutkan itu, ianya dalam pemgetahuan peneroka Felda, yang menjadi persoalan dan tanda tanya peneroka Felda ialah, kenapa selepas beberapa tahun pengeluaran hasil ladang mereka, hutang terus bertambah? Seolah tiada potongan dari hasil Buah Tandan Baharu (BTB ) mereka. Hasil diambil dan diuruskan oleh Felda Technoplant seolah tidak mampu menanggung pinjaman sara hidup yang diterima.
Kepada peneroka yang menguruskan sendiri ladang mereka, masalah ini tidak melingkari mereka. Begitu juga mereka yang menyerahkan kepada Felda sendiri. Kenapa timbunan hutang hanya kepada peneroka yang menggunakan khidmat Swasta iaitu Syarikat Felda Technoplant Sdn Bhd ?
Peneroka Felda, pewaris -pewaris mereka sedia menanti janji penyelesaian masalah penyata kewangan terperincil. Janganlah janji-janji sebelum ini oleh pihak pengurusan mengiringi janji yang dibuat sendiri Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad.
Naraza Muda
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat.
05 September 2016 / 03 Zulhijjah 1437



























