KUALA TERENGGANU – Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia berpandangan bahawa syarat baru yang didakwa dikenakan oleh universiti Al-Azhar sebagai satu propaganda politik untuk mengurangkan jumlah kemasukan pelajar Malaysia ke Universiti tersebut.
Presiden Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM), Ustaz Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli mendakwa syarat tersebut juga dilihat amat tidak relevan memandangkan peperiksaan STAM yang diambil oleh pelajar tingkatan enam di sekolah-sekolah Malaysia.
“ia (STAM) sudah pun menyamai Syahadah Thanawiyyah yang juga merupakan syarat kelayakan untuk memasuki universiti terulung itu. Walaupun syarat ini pada zahirnya dikuatkuasakan oleh Universiti Al-Azhar tetapi seolah-olah wujud pihak ketiga yang menggunakan nama Universiti untuk menyekat pelajar-pelajar Malaysia daripada belajar di sana,”ujarnya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media hari ini 5 April.
Azizul turut menolak alasan dangkal Meneteri pengajian Tinggi, Dato’ Khalid Nordin yang menyatakan syarat baru itu diperkenalkan kerana pelajar mengambil masa terlalu lama untuk menghabiskan pengajian di Universiti Al-Azhar.
“Kelemahan dalam Bahasa Arab tidak boleh dijadikan satu isu kerana kelemahan tersebut sebenarnya dibawa oleh pelajar daripada peringkat sekolah rendah hinggalah menengah sejak di Malaysia lagi,”jelas Azizul.
Menurutnya, kelemahan tersebut adalah berpunca daripada sistem pendidikan di sini bukannya ketika mereka melanjutkan pelajaran di Mesir bahkan kelemahan tersebut hakikatnya dapat diatasi dengan lebih baik sekiranya lebih ramai pelajar dihantar ke Universiti al-Azhar untuk mendalami Bahasa Arab dan memperbaiki sistem pengajian bahasa Arab di negara ini,
Beliau turut memaklumkan, kelemahan yang diperkatakan oleh Menteri berkenaan sebenarnya sudah pun bertambah baik sejak kebelakangan ini apabila pihak persatuan-persatuan negeri meningkatkan usaha, membantu pelajar terbabit, dengan mengadakan kelas-kelas tambahan dan sebagainya.
Justeru, ILMAM mendesak agar kerajaan mengkaji hal ini dan berbincang dengan pihak Universiti tanpa melibatkan kepentingan politik demi melihat lebih ramai graduan agama al-Azhar dapat menyebarkan sinar Islam di tanah air.








