Hutang Kerajaan Terengganu Mencecah RM3.5 Bilion

13777

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU – Terengganu negeri yang kaya dengan sumber alam termasuk minyak dan gas, kini telah menanggung hutang mencecah RM3.5 bilion.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim mendakwa hutang kerajaan negeri kini telah mencecah RM3.5 bilion.

Menurutnya, jumlah hutang itu berdasarkan kepada laporan dan jawapan yang dibuat sendiri oleh kerajaan negeri ini.

“Mengikut laporan jawapan yang dibuat oleh kerajaan negeri (dewan). Saya boleh rumuskan hutang kerajaan negeri Terengganu sekarang ini mencecah RM3.5 bilion.

“Ini satu jumlah yang cukup besar, dengan projek-projek yang telah dibawa oleh kerajaan negeri pada hari ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada wakil media selepas Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (Dun) Ketiga Belas, berhenti rehat di Wisma Darul Iman, semalam Rabu 29 Mac.

Katanya, jumlah hutang itu termasuklah bagi pembangunan bandar baharu Kuala Nerus sebanyak RM600 juta.

Sebelum itu, DUN Terengganu diberitahu bahawa peruntukan pembangunan Bandar baharu Kuala Nerus berjumlah RM600 juta dan setiap tahun kerajaan negeri akan membayar RM70 juta kepada syarikat kontraktor selama hampir 9 tahun.