HULU TERENGGANU – PAS Kawasan ini sedang meletakkan sasaran untuk menawan kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Ngeeri (DUN) dalam membantu Pakatan Rakyat mentadbir Terengganu pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.
Yang Dipertuanya, Haji Muhyidin Abd Rashid berkata, pihaknya akan memperkasa jentera di peringkat dalaman parti untuk memastikan keseluruhan rakyat khususnya Hulu Terengganu memberi sokongan padu kepada parti itu.


“Melalui usaha yang ada, kita gembleng terus sama ada usaha perkasa jentera ke dalam dan keluar untuk memastikan seluruh rakyat khususnya kawasan Hulu Terengganu melihat kita sebagai harapan rakyat untuk membantu rakyat merampas Terengganu daripada BN,” katanya
PR hanya berjaya mengekalkan Dun Manir daripada lima kerusi Dun termasuk satu kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum lalu.
Sementara itu, dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pas Hulu Terengganu, Jumaat lalu, Muhyidin kekal mempertahankan jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Hulu Terengganu bagi penggal 2015-2017.
Beliau akan bekerja dengan kepimpinan sama memandangkan tiada sebarang perubahan di peringkat jawatankuasa kanan kawasan tersebut sebagaimana penggal lepas.
Antaranya, Timbalan yang dipertua kekal disandang Ismail Osman, Naib yang dipertua (Hilmi Harun), Setiausaha(Hamazah Abd Latiff), Bendahari (Dr Mamad Puteh) dan Ketua Penerangan disandang oleh Mohd Razki Yah@Alias.


Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Tetap Mesyuarat Agung Pas Kawasan Hulu Terengganu, Khairuddin Mizi yang dihadiri oleh 419 perwakilan dan 71 cawangan.
Sementara itu, Muhyidin memberitahu bahawa pihaknya bersyukur dengan pencalonan di peringkat Pusat apabila kesemuanya sebulat suara mencadangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon Presiden dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai timbalan presiden sebagaimana disiarkan Sinar Harian pada 11 April lalu.
“Saya bersyukur kerana Pas Hulu Terengganu tiada masalah dari segi kesatuan fikrah dan perpaduan sebagaimana keputusan mesyuarat agung,” katanya.



























