Hukuman Mati Presiden Morsi; Malaysia Perlu Bersuara

955

PAS menyatakan bantahan sekerasnya atas hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Mesir terhadap Mohammad Morsi, Mohd Badie, Syeikh Yusof Al Qardhawi dan ratusan lagi tahanan politik khususnya pemimpin Ikhwanul Muslimin. Jelas menunjukkan pada zaman serba moden ini, rejim As Sisi lagak kejamnya bagaikan Firaun di zaman purba, menghukum bunuh kepada sesiapa yang menjadi musuhnya.

2. Malaysia sebagai ahli dalam pertubuhan OIC dan juga Ahli Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB, wajar menyuarakan bantahan keras terhadap hukuman ini. Adakah kita hanya ingin berdiam diri seolah merestui sahaja pembunuhan berinstitusi ini..?

3. Mesir boleh dikenakan tekanan dan hukuman diplomatik oleh gabungan OIC dan PBB jikalau ada pemimpin yang berani bersuara. Kerajaan Mesir pimpinan As Sisi sekarang begitu berani melakukan apa sahaja kezaliman kerana tidak ada tekanan yang kuat daripada pihak luar.

4. Justeru, PAS mendesak Kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak punyai keazaman dan keberanian untuk bersuara di peringkat antarabangsa. Amat rugilah jika Malaysia hanya hebat melaungkan slogan seperti Wasatiyyah dan negara Islam contoh sedangkan apabila kezaliman dan kekejaman berlaku, kita tidak berani pun untuk menyatakan bantahan dan teguran.

YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS
18 Mei 2015