Hudud : Nazri Wajar Bertanya Terlebih Dahulu Dengan Jamil Khir

943

Saya merujuk kepada kenyataan terbaru Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di mana di dalam mempertahankan perkataan ‘bodoh’ yang beliau labelkan kepada pihak-pihak yang membincangkan berkenaaan undang-undang hudud, Datuk Seri Nazri menyatakan bahawa PAS memerlukan sokongan dua pertiga di dalam Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan hudud dilaksanakan. Ini adalah kerana pada pandangan beliau, soal undang-undang jenayah dan kesalahan-kesalahan seperti jenayah membunuh, merogol dan mencuri adalah di bawah bidangkuasa mahkamah sivil yang berada di dalam kawalan Kerajaan Persekutuan dan dengan itu tidak boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Ternyata Datuk Seri Nazri sebagai seorang anggota Jemaah Menteri terkeliru atau tidak mendapat maklumat yang tepat berhubung dengan langkah yang diambil oleh PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan di dalam usaha untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (Hudud) ini agar selaras dengan proses undang-undang yang sewajarnya. Untuk pengetahuan Datuk Seri Nazri, langkah seterusnya yang diambil PAS selepas berjaya meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Hudud) di DUN Kelantan baru-baru ini ialah berusaha untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi menaikkan kadar hukuman yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah di dalam kes-kes jenayah yang dibicarakan di Mahkamah Syariah. Pindaan ke atas Akta 355 ini adalah sebagaimana pindaan biasa ke atas mana-mana akta parlimen dan justeru, ianya hanya memerlukan sokongan majoriti mudah di kalangan ahli-ahli dewan. Inilah perkara yang telah disepakati di dalam Jawatankuasa Teknikal Perlaksanaan Hudud Peringkat Kebangsaan yang dianggotai oleh wakil-wakil dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan dan telah dipersetujui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Bahrom.

Sebagai seorang menteri dan ahli politik yang senior, sewajarnyalah Datuk Seri Nazri mendapatkan maklumat yang tepat terlebih dahulu dari Datuk Seri Jamil Khir Bahrom agar tidaklah Datuk Seri Nazri dilihat ketinggalan maklumat dan perkembangan semasa.

Saya ingin menjelaskan kepada Datuk Seri Nazri bahawa soal meminda Perlembagaan adalah tidak berbangkit buat masa ini memandangkan bahawa undang-undang hudud adalah merupakan sebahagian dari undang-undang Islam. Jadual 9 Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa undang-undang Islam adalah berada di bawah kuasa badan perundangan negeri. Maka undang-undang hudud yang diluluskan oleh DUN Kelantan tidak melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan dan tidak juga mencerobohi kuasa Kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun PAS menyedari Akta 355 yang ada sekarang masih tidak membenarkan untuk mahkamah syariah menjatuhkan hukuman hudud. Maka, atas sebab itulah 355 ini perlu dipinda.

Memandangkan Akta 355 ini adalah undang-undang persekutuan, maka sepatutnya Kerajaan Persekutuan adalah bertanggungjawab untuk meminda akta ini, bukan sahaja bagi memberi ruang untuk Mahkamah Syariah di Kelantan menjatuhkan hukuman yang menepati perintah Al Quran dan Hadis bagi kesalahan-kesalahan jenayah hudud, tetapi juga sesuai dengan peredaran zaman dalam usaha memertabatkaan kedudukan mahkamah syariah di negara ini. Malangnya setakat ini Kerajaan Persekutuan, sebagaimana jawapan Datuk Seri Jamil Khir Bahrom di dalam Parlimen, masih gagal untuk melaksanakan usaha-usaha bagi membentangkan pindaan Akta 355 di Parlimen meskipun Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang diadakan pada 15 Disember 2014 yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri telah bersetuju supaya pindaan di buat ke atas Akta 355 ini.

Jika UMNO benar-benar ikhlas di dalam membantu Kerajaan Kelantan melaksanakan undang-undang hudud sebagaimana yang dicanangklan sebelum ini, maka kita akan dapat mengujinya dengan melihat samada Rang Undang-Undang Persendirian Ahli Parlimen yang telah dimasukkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibenarkan untuk dibahaskan. Ini adalah kerana berdasarkan kepada Peraturan Mesyuarat 49 (4) Peraturan Tetap Dewan Rakyat, sesuatu usul untuk membentangkan rang undang-undang persendirian akan hanya boleh diteruskan untuk bacaan kedua dan juga perbahasan sekiranya ia dibenarkan oleh menteri yang berkaitan.

Dalam hal ini, adalah lebih baik untuk Datuk Seri Nazri supaya berterus terang kepada umum apakah sikap sebenar UMNO terhadap pelaksanaan undang-undang hudud.

YB DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS
31 MAC 2015