Hubungan PAS Dengan Semua Pihak Mengikut Sempadan Agama Islam

249

PAS tetap berpegang dengan konsep bahawa politik itu sebahagian daripada agama, bukan agama menjadi sebahagian daripada politik sehingga agama boleh diperalatkan. Maka, sesiapa sahaja malah semua pihak diharamkan memperalatkan agama Islam, sehingga diharamkan dan dihukum sesat sesiapa yang memisahkan politik daripada agama Islam.

Agama bagi PAS mengikut bahasa al-Quran ialah suatu petunjuk dan ajaran yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW yang berbangsa Arab dan berbahasa Arab, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ٤﴾

“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya (bangsanya), supaya dia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan juga memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Dialah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ibrahim: 4)

Adapun agama Islam mengikut bahasa al-Quran berasal daripada perkataan al-din. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ وَمَا ٱخۡتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡعِلۡمُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۗ وَمَن يَكۡفُرۡ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ١٩﴾

“Sesungguhnya, al-din (agama) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan al-Kitab itu tidak berselisih melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.” (Surah Ali ‘Imran: 19)

Islam menolak tafsiran perkataan agama dalam semua bahasa oleh pihak yang lain. Termasuk makna agama dalam bahasa Melayu yang salah dan telah menyeleweng daripada maksud asalnya yang memberikan makna yang sempurna dan menyeluruh dalam seluruh kejadian alam, termasuk manusia. Maka, politik hanya sebahagian daripada ajaran agama yang tidak boleh dipisahkan.

Politik ialah alat kepada agama bagi melaksanakan seluruh ajarannya, memelihara dan mempertahankannya. Maka, politik ditadbir oleh agama. Para ulama’ menegaskan maksud khilafah atau pemerintahan dalam al-Quran melalui tulisannya:

‌مَوْضُوعَةٌ لِخِلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةِ الدُّنْيَا.

“Menggantikan tugas kenabian bagi menegakkan al-din (Islam) dan siasah (politik) dengan petunjuk agama.” (Al-Mawardi dalam kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah, ms. 15 dan Ibn Khaldun dalam kitab Tarikhnya, Jld. 1, Hlm. 239)

Inilah Islam yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sejak bermulanya penurunan wahyu sehingga ia ditamatkan dengan kewafatan Baginda. Firman Allah SWT:

﴿…ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗا…٣﴾

“…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan ni‘mat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…” (Surah al-Ma’idah: 3)

Maka, al-Quran dan Sunnah Rasulullah ialah panduan asasi yang dirujuk oleh ulil amri daripada kalangan mereka yang berilmu (para ulama’) dan juga mereka yang melaksanakannya iaitu para umara’ (para pemimpin negara atau jemaah Islam) yang wajib ada dalam kalangan umat Islam sepanjang zaman. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤

“Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang ma‘ruf, serta melarang daripada berbuat segala perkara yang munkar. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali ‘Imran: 104)

Kumpulan yang dimaksudkan dalam ayat di atas wajib memenuhi tiga rukun atau ciri-ciri yang berikut, iaitu; berdakwah kepada Islam (al-din), berbuat amar ma‘ruf dan berbuat nahi munkar. Sehinggakan, kumpulan tersebut mencapai peringkat yang paling kuat iaitu berkuasa memerintah negara mengikut contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para generasi awal.

Maka, dinyatakan dalam Perlembagaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bahawa hukum tertinggi yang tidak boleh dipertikaikan ialah al-Quran, al-Sunnah, ijmak para ulama’ dan qiyas yang nyata menjadi rujukan tertinggi.

PAS menubuhkan Majlis Syura Ulamak yang dipilih daripada kalangan para ulama’ yang merupakan ahli PAS yang berwibawa dari segi ilmu, akhlak dan maruah. Mereka juga merupakan kalangan ilmuwan Islam (ulama’) yang bertaraf mampu mengkaji sumber utama yang disebutkan di atas dalam bahasa Arab, merujuk sumber yang terdahulu daripada karangan para ulama’ dan sejarah para umara’, serta mampu berijtihad secara berjemaah dalam masalah terkini, khususnya dalam perkara baharu yang tiada pada zaman dahulu.

Majlis Syura Ulamak juga berkuasa membatalkan apa-apa keputusan dan tindakan PAS yang dilihat bercanggah dengan prinsip serta konsep Islam yang asasi dalam semua aspek kegiatan PAS. Malah, institusi tersebut boleh menjemput kalangan mereka yang pakar dalam lapangan masing-masing untuk memberikan pandangan kepadanya, sebelum memutuskan sesuatu keputusan atau hukum. Bahkan, ada dalam kalangan ahlinya pula merupakan sebahagian daripada kalangan ilmuwan yang pernah berkhidmat di pusat pengajian tinggi dan Majlis Fatwa.

Pimpinan tertinggi PAS bertanggungjawab dari segi menjaga perjalanan parti dan melaksanakan keputusan mengikut strategi perjuangan, situasi dan realiti dalam masyarakat mengikut Siyasah Syari‘yyah dan Maqasid al-Syari‘ah. Oleh sebab itu, PAS tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya oleh kalangan pelampau yang jahil dan pemalas yang jumud mendiamkan diri.

Sehingga kini, kerjasama PAS dan persefahaman politik yang dilakukannya dengan semua pihak tetap berpandukan hukum Islam dan batas sempadannya. Perkara ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

‌الْمُسْلِمُونَ ‌عَلَى ‌شُرُوطِهِمْ ‌إِلَّا ‌شَرْطًا ‌أَحَلَّ ‌حَرَامًا ‌أَوْ ‌حَرَّمَ ‌حَلَالًا.

“Orang Islam itu wajib berpegang kepada syarat-syarat yang ditetapkan (dalam perjanjian) mereka, melainkan syarat yang menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal.” (Al-Tabrani, al-Mu‘jam al-Kabir, Jld. 17, No. 30 / al-Bayhaqi, al-Sunan al-Kubra, No. 14432)

Justeru, PAS bekerjasama dengan pihak lain, dan membatalkannya apabila dilihat ia melanggar nas, prinsip dan strategi yang betul. Pada masa yang sama, PAS juga bersikap terbuka dan bersempadan menghadapi sebarang perubahan dari sudut pemikiran dan sikap manusia yang boleh berubah-ubah, berpandukan sabda Rasulullah SAW:

‌أَحْبِبْ ‌حَبِيبَكَ ‌هَوْنًا ‌مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا، وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا.

“Kasihilah orang yang kamu kasihi sekadar berpatutan (jangan melampau), kerana kemungkinan dia menjadi orang yang dimarahi (dimusuhi) pada satu hari nanti. Marahilah (musuhilah) orang yang kamu marahi sekadar berpatutan, kerana kemungkinan dia menjadi orang yang dikasihi pada satu hari nanti.” (Riwayat al-Tirmizi, No. 1997)

PAS mengadakan persefahaman dan kerjasama dengan pelbagai pihak yang berbeza ideologi dan aqidah agama yang bersikap damai dan tidak menipu dalam perjalanan politiknya, dalam keadaan dipantau dan dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak dan jawatankuasa Lajnah Politik. PAS dalam keadaan yang terkawal dan tidak pernah dapat dipermain-mainkan atau ditipu oleh semua pihak, dalam keadaan tetap berjaya dari sudut kerjasama dan hubungan, dan PAS tidak lemah dan mati apabila ia dibatalkan.

Pendekatan PAS tidak boleh disamakan dengan rakan-rakan parti Islam di negara lain seperti negara Arab, utara Afrika, Turki, Asia Tengah, benua India dan lain-lain, walaupun mempunyai persamaan dasar, konsep dan hala tujunya. Hal ini demikian kerana, berbeza padang dan lapangan masyarakatnya yang wajib difahami oleh mereka yang bersama PAS atau mereka yang memberi perhatian kepada PAS. Sabda Rasulullah SAW:

أُمِرْنَا ‌أَنْ ‌نُكَلِّمَ ‌النَّاسَ عَلَى قَدْرِ عُقُولِهِمْ.

“Kami diperintahkan supaya diletakkan orang yang menunaikannya pada tempatnya yang sesuai dan berucap kepada manusia mengikut kadar kemampuan akal mereka.” (Al-Suyuti, Jam‘ al-Jawami‘, No. 260/4445)

Saya menegaskan perkara ini kepada rakan-rakan luar negara yang datang dan ditemui atau dalam negara sendiri yang cuba melakukan campur tangan dalam perkara yang tidak difahaminya terhadap beberapa tindakan PAS.

PAS mengadakan kerjasama dengan pihak lain atas titik persamaan kemanusiaan dan keadilan kepada semua tanpa melanggar sempadan prinsip Islam dan konsep yang menjadi kewajipan PAS.

Apabila ada pihak yang melanggar dasar PAS atau memaksa PAS keluar daripada landasan Islam atau melanggar konsep yang wajib seperti kewajipan menegakkan negara Islam atau konsep amar ma‘ruf dan nahi munkar atau ancaman terhadap Islam dan penganutnya oleh pihak lain, maka PAS tidak teragak-agak membatalkan kerjasama atau keluar daripada pakatan politik tersebut. Sikap PAS pula tidak jumud tanpa perubahan apabila berlakunya perubahan sikap dan keadaannya. Maka, ada parti yang berulang kali berhubung dan memutuskan hubungan dengan PAS.

PAS lebih mengutamakan sikap berkebajikan terhadap semua pihak, termasuk terhadap mereka yang pernah bermusuh atau sedang bermusuh atau paling bermusuh, kerana pendekatan tersebut menjadi salah satu cara untuk memperkenalkan Islam kepada pihak lain yang menjadi kebajikan terbaik. Hal ini disebabkan firman Allah SWT:

﴿وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ٣٤ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ٣٥ وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٣٦﴾

“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu itu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang teman yang sangat setia. (34) Dan sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar (daripada kebahagiaan dunia dan akhirat). (35) Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka hendaklah kamu memohon perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (36)” (Surah Fussilat: 34-36)

PAS berkewajipan memperkenalkan Islam kepada semua pihak secara ilmu dan melaksanakannya sekadar kemampuan, kerana firman Allah SWT:

﴿لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡهَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرٗا كَمَا حَمَلۡتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَآۚ أَنتَ مَوۡلَىٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَٰفِرِينَ٢٨٦﴾

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya, dan dia juga mendapat seksaan (daripada kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa dengan berkata), ‘Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau menghukum kami salah, jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau membebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir (yang menentang dan bermusuh).’” (Surah al-Baqarah: 286)

PAS melaksanakan kewajipannya dengan penuh kesabaran dan tanpa menyimpan dendam, apabila berada dalam kerajaan pusat dan ketika memerintah kerajaan negeri yang dapat disaksikan oleh ramai kalangan. Sebaliknya, PAS pula menjadi sasaran pihak lain yang menipu, menyekat dan menentangnya secara terbuka dan bersembunyi. Namun begitu, PAS tidak sekali-kali membalas dendam apabila berkuasa.

Sebaliknya, PAS dihalang daripada berkuasa mengikut prinsip Perlembagaan Persekutuan atau demokrasi dalam keadaan tekanan antarabangsa menghalang kemaraan Islam yang diwarnakan hijau melalui demokrasi yang bersikap ‘double standard’. Mereka menganggap seolah-olah pihak Islam itu bodoh tidak mampu memerintah dan mentadbir, walaupun terlalu ramai kalangan ilmuwan menjadi wakil rakyat PAS atau pegawai kerajaan, pensyarah di pusat-pusat pengajian tinggi dan pemimpin masyarakat. Sehinggakan, ada kalangan mereka itu menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Cawangan PAS, malah ada yang bersama-sama Unit Amal dan kebajikan sahaja kerana mereka terlalu ramai.

Jika kalangan mereka selain daripada pihak Islam seperti PAS, semuanya layak diberikan kedudukan, walaupun mereka hanya sekadar mempunyai ijazah belian, tidak mempunyai ijazah, pelakon, penipu, penjenayah, banduan, penyangak, penyakau, jahil dan sebagainya. Asalkan mereka itu pandai bergaya dan berlagak dengan pakaian, gerak-geri dan ucapannya. Allah SWT berfirman kepada para hamba-Nya supaya mengambil teladan daripada perjuangan para nabi:

﴿وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوّٗا شَيَٰطِينَ ٱلۡإِنسِ وَٱلۡجِنِّ يُوحِي بَعۡضُهُمۡ إِلَىٰ بَعۡضٖ زُخۡرُفَ ٱلۡقَوۡلِ غُرُورٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُۖ فَذَرۡهُمۡ وَمَا يَفۡتَرُونَ١١٢﴾

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada kalangan syaitan-syaitan (daripada jenis) manusia dan jin, sebahagiannya membisikkan kepada sebahagian yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya (manusia). Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak mengerjakannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu.” (Surah al-An‘am: 112)

Perkara yang berlaku adalah asam garam kepada perjuangan Islam seperti PAS yang bersusah payah mengikutinya, sehingga berjaya atau menemui akhir hayat yang dijanjikan oleh Allah berwawasan akhirat. Firman Allah SWT:

﴿لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ يُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ٤٢ عَفَا ٱللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمۡ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَتَعۡلَمَ ٱلۡكَٰذِبِينَ٤٣﴾

“Kalau apa yang kamu serukan kepada mereka (wahai Muhammad) keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafiq itu) akan mengikutimu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata, ‘Kalau kami sanggup, tentulah kami akan berangkat Bersama-samamu.’ (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta. (42) Semoga Allah memaafkanmu (wahai Muhammad), mengapa kamu mengizinkan mereka (tidak turut berperang) sebelum nyata bagimu orang-orang yang benar dan (sebelum) kamu mengetahui orang-orang yang berdusta? (43)” (Surah al-Tawbah: 42-43)

Maka, PAS tidak boleh dijadikan rumah tumpangan politik sementara waktu atau laksana bola yang boleh ditendang oleh pihak lain dengan mudah atau untuk berniaga politik dengan janji pangkat, harta dan takhta.

Ahli PAS bersemangat menghayati firman Alah SWT:

﴿وَلَا تَهِنُواْ فِي ٱبۡتِغَآءِ ٱلۡقَوۡمِۖ إِن تَكُونُواْ تَأۡلَمُونَ فَإِنَّهُمۡ يَأۡلَمُونَ كَمَا تَأۡلَمُونَۖ وَتَرۡجُونَ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا يَرۡجُونَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا١٠٤﴾

“Dan janganlah kamu berhati lemah (hilang semangat) dalam mengejar mereka (musuh) itu; jika kamu menderita kesakitan (luka atau mati), maka sesungguhnya mereka pun menderita kesakitan juga sebagaimana kami menderita; sedang kamu mengharapkan daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada Hari Akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’: 104)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 26 Syawwal 1444 / 17 Mei 2023

[Bil: 38 / 2023]