Oleh : Adli Mohamad.
KUALA NERUS – Hubungan diantara PAS dan Umno adalah ‘ta’awun’ untuk memperkuatkan pembangkang yang akhirnya akan memberi keuntungan Melayu Islam.
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, isu hubungan Umno dan PAS adalah tidak sewajarnya dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH) yang bertujuan melemahkan PAS.
“Dulu kita lawan kerana (UMNO) kerajaan, dia (Umno)…sekarang pembangkang sebab itu, (PAS) bersama dia (Umno),” ujarnya.
Beliau berkata demikian, semasa berucap pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Peringkat Negeri Terengganu, di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa (KOMTAQ), Batu Enam, di sini pada hari ini, Sabtu 26 Januari.
“Tahaluf siyasi bukannya ‘blank cheque’ tetapi ada terma dan syaratnya,” tegas beliau dan menambah, hubungan dengan parti-parti lain tidak semestinya dengan tahaluf, namun boleh diwujudkan dalam bentuk ta’awun.
“PAS sentiasa melakukan penambahbaikkan, mengikut perkembangan semasa, kita berpegang dengan Islam.
“Apa saja keputusan dibuat kita letak Islam di hadapan, yang lain letak nombor dua,” jelasnya kepada hampir 600 orang petugas-petugas PAS yang hadir.