Oleh : Khalid Abdullah
KEMAMAN – Masyarakat disaran meningkatkan usaha untuk memperbaiki hubungan dengan Allah dalam usaha menangani kemelut kehidupan yang cukup mencabar kini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kerajaan Negeri Kelantan, Hajah Mumtaz Mohd Nawi berkata kejayaan atau kegagalan hidup manusia di muka bumi ini adalah bergantung kepada Allah.
“Perlu diingat dalam kehidupan, 90% hasil kejayaan kita adalah hasil hablum minallah (hubungan dengan Allah) hanya 10% dari hablum minannas (hubungan sesama manusia)
“jadi, kekuatan kita adalah kerana berada di atas hubungan dan kefahaman kita dengan Allah dan bakinya hanya hubungan kita sesama manusia,
“Dalam berurusan sesama manusia pula kita harus menjalani dengan penuh hikmah……antara beza orang yang pandai dan orang bijak adalah orang yang pandai diberi kebolehan menghafal manakala orang yang bijak boleh sesuaikan diri dengan suasana,” kata beliau
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Bicara Ummah, Cabaran Kehidupan Dalam Masyarakat anjuran Dewan Muslimat PAS Cawangan Pekan Binjai pada Khamis 3 Ogos.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu juga, berkongsi pengalaman tentang kebijaksaan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa menjadi Menteri Besar Kelantan, menambat hati rakyat.
Menurutnya, kerja-kerja dakwah yang dilakukan, mestilah sesuai dengan kehidupan masyarakat setempat.
“Jangan pakai jubah, pakai baju kurung sahaja, jangan masuk kepada masyarakat yang rasa terasing dengan penampilan kita
“bila masyarakat sudah ramai pakai jubah, kita baru boleh pakai jubah, benda ini nampak kecil tapi impak kepada masyarakat sangat besar,” ujarnya.
Katanya, itulah pesan mantan Mursyidul Am PAS kepada beliau, semasa beliau mula menceburkan diri dalam politik.
Beliau juga menzahirkan rasa bersyukur dapat bekerja di bawah kepimpinan ulama yang bergerak atas landasan agama sebenar dan beliau berkeyakinan seluruh permasalahan utama manusia ada dalam Al Quran untuk diselesaikan.
Seramai hampir 100 orang menghadiri program tersebut yang dianjurkan bersama Pusat Tarbiyyah Islamiyah Binjai (PUTIB).