Hotel Di Perkarangan Masjid: PAS Persoal ‘Prosedur’

2081

PAS Terengganu mempersoalkan prosedur kelulusan kepada cadangan pembinaan blok bangunan hotel di perkarangan Masjid Sultan Mahmud di pekan Kuala Berang yang sedang berjalan sekarang ini dilakukan.

PAS tidak pernah membantah sebarang pembangunan jika ia membawa kebaikan kepada rakyat jelata. Namun tindak-tanduk pihak terlibat dalam melaksanakan projek ini amat meragukan PAS sehinggakan menimbulkan beberapa persoalan.

hotel diperkarangan masjidPAS meminta disenaraikan siapakah kontraktor yang dianugerahkan projek ini. PAS melihat seperti ada perlanggaran kepada prosedur berlaku dan PAS mendesak siasatan segera perlu dijalankan agar wang rakyat diselamatkan.

Pastinya rakyat merasa bimbang atau kecewa dengan projek ini jika ia benar-benar melanggar peraturan. Apatah lagi tapak projek itu adalah kawasan masjid yang mungkin boleh membawa kepada isu lain seperti isu mencemari kesucian masjid yang duduk di bawah kuasa Tuanku Sultan.

PAS juga mendesak agar kerajaan Negeri mendedahkan dari manakah sumber ataupun peruntukan bagi melaksanakan projek ini. PAS juga meminta dibuktikan bahawa projek ini telah mendapat kelulusan bertulis daripada Majlis Daerah Hulu Terengganu.

hotel diperkarangan masjid1PAS yakin masih banyak lagi kawasan lain yang boleh digunakan bagi cadangan projek ini, memandangkan Kuala Berang secara dasarnya belum dibangunkan dengan menyeluruh. Tetapi mengapa kawasan masjid juga yang dipilih?

PAS memberi amaran kepada pihak yang terlibat dengan permainan ini agar tidak menjadikan institusi masjid sebagai lapangan ujikaji bagi memancing undi atau sekadar mendapatkan projek. Sebagaimana Projek Jerteh Souq yang tidak mendapat kelulusan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, yang akhirnya terbengkalai sama seperti ratusan projek kerajaan Negeri yang gagal dan rugi. Wallahua’lam

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
4 RabiulAkhir 1438 bersamaan 2 Januari 2017