Alhamdulillah, pada 29 dan 30 Ogos lalu, Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT) berjaya mengadakan program tahunannya iaitu Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) bagi tahun 2014.
Program dua hari yang diadakan di Taman Rekreasi Pantai Merang, Setiu itu bukan sahaja mampu mengumpul petugas pemuda, malah berjaya meningkatkan ukhuwwah dan diberi sentuhan jihad buat mereka.
Dengan mengembalikan konsep awal HIMPIT yang menumpukan kepada pembentukan kekuatan organisasi, ukhuwwah dan jatidiri pemuda, HIMPIT 2014 boleh dikira mencapai matlamatnya.
Program yang dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Terengganu, YB Mohd Nor Hamzah bukan sahaja diisi dengan program berbentuk permainan fizikal, malah Pemuda PAS tidak pernah kekok untuk diajak bangun qiamullail di awal pagi.
Konsep permainan yang dipertandingkan berjaya melonjak semangat berpasukan yang tinggi ditunjukkan oleh setiap peserta pasukan yang ditetapkan mengikut kawasan masing-masing. Alhamdulillah, persaingan sihat dapat diwujudkan antara setiap pasukan.
Kehadiran peserta yang dikira amat berjaya dicatat melebihi angka sasaran 3200 orang yang mengambilkira 100 pemuda setiap Dun. Malah, program yang diadakan secara ‘dalaman’ ini tidak putus-putus dihadiri pengunjung yang mahu menyaksikan acara-acara yang dipertandingkan.
Walaupun program sebenar bermula pada selepas Asar petang Jumaat, namun inisiatif Dacs dan ARC menganjurkan Konvoi HIMPIT berjaya menyemarakkan kehadiran peserta dan suasana. Antara acara yang paling mencuri tumpuan peserta dan pengunjung adalah acara Panjat Tiang Licin dan Pukul Bantal yang diadakan di dalam sungai.
Johan keseluruhan bagi acara-acara yang dipertandingkan adalah Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang. Turut bersaing rapat dengan pasukan DPPK Marang adalah pasukan DPPK Kuala Nerus
Terima kasih Setiu kerana sudi menjadi tuan rumah bagi menjayakan HIMPIT yang cemerlang pada kali ini. Semoga kita bersua lagi dalam HIMPIT 2015.
Tahniah kepada semua yang menjayakan. Terima kasih kerana bersatu hati merealisasikan PAS: Pilihan Utama Anak Muda!
Ustaz Mohd Nasir Abdul Razab
Setiausaha HIMPIT,
Merangkap Setiausaha DPPNT.











