Hasina Bunuh Demokrasi

498

DHAKA: Pemimpin pembangkang Bangladesh, Khaleda Zia, semalam menuduh Perdana Menteri Sheikh Hasina sebagai “membunuh demokrasi”.

Beliau membuat tuduhan tersebut sedang seterunya itu menghadapi desakan supaya mengadakan pilihanraya baru setelah menang besar – tanpa bertanding dalam lebih separuh daripada 300 kerusi Parlimen – dalam pilihan raya Ahad lalu.

Amerika Syarikat memimpin tekanan antarabangsa agar Bangladesh segera mengadakan semula pilihan raya yang melibatkan semua parti besar.

“Saya menyeru pemerintah supaya membatalkan undi jenaka ini, meletakkan jawatan dan adakan persefahaman (dengan pembangkang) untuk menganjurkan sebuah pilihan raya yang bebas, adil dan berkecuali di bawah pemerintah sementara yang tidak berpihak pada mana-mana parti,” Khaleda Zia dalam satu kenyataan semalam.

Amerika Syarikat juga menggesa pilihanraya baru diadakan yang dapat “dipercayai meluahkan kemahuan” rakyat.

bangladesh2“Dengan lebih separuh kerusi tidak dipertandingkan dan kebanyakan baki kerusi ditawarkan kepada pembangkang setakat memenuhi syarat sahaja, keputusan pilihan raya yang baru berakhir itu tidak menunjukkan bahawa ia boleh dipercayai sebagai meluahkan kemahuan rakyat Bangladesh.

“Meskipun masih belum jejas apa bentuk pemerintah baru…. kami menggalak pemerintah Bangladesh dan parti pembangkang mengadakan dialog segera bagi mencari jalan untuk mengadakan pilihan raya yang bebas, adil, tenang dan dapat dipercayai, secepat mungkin,” kata timbalan jurucakap Jabatan Negara, Marie Harf.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, juga “sedih atas kehilangan nyawa”, kata jurucakapnya.

Beliau menggesa kededua pihak “menyambung semula dialog dan menangani jangkaan rakyat Bangladesh bagi proses politik yang inklusif.”

Sekurang-kurangnya, 26 orang terbunuh dalam keganasan yang melihat sekitar 600 pusat mengundi diserang atau dibakar penyokong pembangkang pada hari mengundi dan rusuhan yang menyusul kelmarin.

Ia disifatkan sebagai pilihan raya paling berdarah dalam sejarah singkat Bangladesh yang mendapat kemerdekaan dari Pakistan pada 1971.

Sejak lewat Oktober lalu, sekitar 180 orang telah terbunuh dalam keganasan berhubung pilihan raya.

Bekas kuasa kolonial Bangladesh, Britain, juga mengkritik pilihan raya itu. Menteri Ehwal Luar Muda Britain, Sayeeda Warsi, berkata “tanda sebenar demokrasi yang matang dan berfungsi ialah pilihan raya yang tenang, dipercayai dan yang meluahkan kemahuan sebenar pengundi.” – AFP.