KUALA NERUS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim menyifatkan kejadian hakisan pantai yang berlaku minggu lalu adalah yang paling buruk pernah berlaku di kampung terbabit.
“Sejarah orang yang duduk di tepi pantai (Tanjung Gelam) ini rekod yang paling buruk. Sebelum ini kedudukkan pantai agak jauh dengan rumah penduduk.


“Tetapi kesan dari tambakan laut airport untuk bina landasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud hakisan pantai pada setiap tahun semakin cepat.
“Jika dahulu jarak pantai dengan rumah penduduk jauh. Hari ini kita dapat lihat sendiri ianya telah mengancam rumah kediaman penduduk. Air pasang besar setiap tahun berlaku cuma kali ini telah menghampiri rumah-rumah penduduk,” ujarnya.
Katanya, PAS melalui Jabatan Amal dan Skuad Pemuda sentiasa bersiap siaga bagi membantu memindahkan mangsa-mangsa terbabit.
“Bantuan kemanusiaan masa saat kritikal kita telah susun pergerakkan anggota Jabatan Amal dan Skuad Pemuda PAS kita untuk memberi bantuan khidmat pemindahan dan menyelamat.
“Alhamdulillah, malam tadi empat keluarga (mangsa) dibantu oleh skuad pemuda kita (PAS) dan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Pasukan Bomba dan Penyelamat (Bomba).


Beliau berharap agar kegawatan ekonomi tidak menjadi alasan untuk kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas mengatasi masalah rakyat.
“Untuk jangka masa pendek kena buat benteng pemecah ombak dan perlu dibuat segera dalam bentuk yang pelbagai sama ada bentuk pulau dan sebagainya.
“Kita (PAS) harap buat menyeluruh dan bukan terpilih beberapa tempat tertentu sahaja. Kita minta kerajaan negeri beri perhatian.


“Ini kepentingan yang menyeluruh kepada rakyat,” tegasnya ketika melawat rumah-rumah mangsa bencana ombak besar di Kampung Tanjung Gelam.
sejak dua bulan lalu hampir 100 kaki hakisan pantai berlaku hingga merosakkan beberapa buah rumah kediaman penduduk, pengkalan nelayan, bangsal memproses keropok serta beberapa buah chalet.
Pada lawatan itu, rombongan Muslimat PAS DUN Tepoh dan Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Kawasan Kuala Nerus turut menyampaikan sumbangan awal kepada keluarga mangsa bencana ombak besar.




























