Perutusan Ketua Muslimat PAS negeri Terengganu sempena Hari Guru tahun 2015
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik yang dikasihi sekalian,
Terlebih dahulu saya ingin melafazkan rasa syukur kerana sekali lagi dapat kita menyambut Hari Guru yang telah mula diraikan semenjak tahun 1972. Betapa mulia darjat guru sehingga 16 Mei setiap tahun dikhususkan sebagai hari menterjemah rasa penghormatan yang amat tinggi kepada tuan-puan warga pendidik sekalian. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua warga guru atas jasa bakti yang tidak pernah mengenal erti jemu dan lelah dalam usaha mendidik anak-anak bangsa yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara. Sejarah telah membuktikan pendidikan berjaya membina tamadun sesebuah masyarakat dan menjamin keutuhan sesuatu empayar. Keagungan kerajaan Islam Abbasiyah dan kemasyhuran Dinasti Ming di China dicapai melalui kepesatan pelbagai bidang ilmu, termasuk bidang sains dan teknologi. Siapalah yang dapat menafikan bahawa sesungguhnya tunjang utama dalam kemajuan pendidikan tidak lain dan tidak bukan adalah guru.
Tema hari guru pada tahun ini iaitu “Guru Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak”. Peranan dan fungsi guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah, malah sebagai agen perubahan. Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses merealisasikan potensi pelajar dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat.
Warga guru yang dihargai sekalian, anda semua merupakan insan yang dianugerahkan dengan kegigihan dan kecekalan yang amat tinggi. Biar acap kali diterjah dengan dugaan dan cabaran dalam berbagai bentuk, kubu kesabaran kekal teguh dan kental. Teruskanlah melaksanakan amanah yang diberikan dengan tulus, berpaksikan integriti dan berdasarkan etika perkhidmatan. Imej profesion keguruan pasti akan dapat ditingkatkan. Saya juga ingin menyeru agar para guru semua mematuhi tata cara yang ditetapkan dalam menangani isu persekolahan terutama yang berkaitan dengan disiplin murid. Tanganilah setiap masalah yang timbul secara berhikmah. Nasihatilah murid-murid dengan lemah lembut dan sentuhlah hati mereka dengan keluhuran, keikhlasan dan kemurnian jiwa guru semua.
Warga guru yang disayangi sekalian,
Saya turut mengambil peluang ini untuk mengetengahkan firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 13, “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Bersempena dengan kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh Allah ini marilah kita sama-sama memberikan kerjasama, menyatakan sokongan dan menterjemahkannya dalam kehidupan kita. Takwa dalam bahasa mudahnya meninggalkan larangan dan melaksanakan arahan Allah swt. Kita berusaha menjadikan diri orang yang bertakwa, kita mendekati kawan kawan yang bertakwa, mengutamakan arahan-arahan pihak atasan yang lebih bertakwa, kita mengiktiraf pendapat orang yang lebih bertakwa, memilih pemimpin-pemimpin yang lebih bertakwa, mengutamakan program-program yang menjurus kepada ketakwaan, memikirkan program yang boleh menambah ketakwaan, memberi penghargaan kepada pelajar yang bertakwa dan macam-macam perkara yang menjadikan perkataan takwa sebagai kata kunci.
Dan yang paling penting, kita mestilah tahu yang mana takwa dan yang mana sesat.
Akhir kalam, renungkanlah semula peranan dan tanggung jawab
tuan-tuan dan puan-puan semua sebagai orang tengah antara pelajar dan Pencipta mereka. Ketinggian kedudukan warga pendidik dalam masyarakat tidak akan tergugat selagi warga pendidik semua jelas dengan misi dan matlamat yang ingin dicapai serta tidak mudah berputus asa. Sebagai pemimpin kepada anak didik, saya berharap agar guru menghayati kata-kata Khalifah Abdul Malik bin Marwan ini, “Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat”.
WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI SEKALIAN
SAYA SAYANG CIKGU …….
Puan Sainah Jusoh
Ketua Dewan Muslimat Negeri Terenggau





























