Oleh KAM
DUNGUN – Cukai Barangan dan Pekhidmatan (GST) yang diperkenalkan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sejak lebih setahun lalu menjadi punca tekanan hidup rakyat.
Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata apabila GST dilaksanakan maka harga barangan menjadi mahal serta berlaku peningkatan di luar kawalan.
Beliau berkata rakyat terpaksa berbelanja besar dan mencari sumber pendapatan lebih bagi menampung keperluan keluarga.


“Tetapi, bila kita dapat dan berbelanja menjadi lebih besar daripada jumlah biasa yang kita belanja. Ini menyebabkan, masa kita terpaksa kita habiskan untuk mencari lebih banyak (wang),” ujarnya ketika berucap pada program Sambutan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Negeri Terengganu di Kampung Batu Lima, Dungun, Jumaat 20 Januari.
Menurutnya, pelaksanaan cukai GST itu menyebab tiga perkara berlaku yang boleh membebankan hidup rakyat.
“Pertama, kos harga barangan meningkat. Kedua kesulitan untuk kita (rakyat) dapatkan wang atau duit untuk kita berbelanja dengan kos harga barang yang meningkat, menyebabkan kita terpaksa memperuntukkan lebih masa untuk mencari sumber perbelanjaan keluarga kita.
“Ketiga, kadang-kadang barang jadi sulit iaitu tidak ada barang kerana hendak berlaku kenaikan harga seperti mana yang kita lihat berlaku kepada minyak masak baru-baru ini,” jelasnya kepada 300 warga Tionghua.


Katanya, meski pun wakil-wakil rakyat dan Ahli Parlimen PAS tidak mendapat peruntukan kerajaan negeri tetapi usaha membantu dilakukan.
“Sebab itu, kita (PAS) kadar yang kita mampu kita bersama dengan rakyat di waktu mereka dalam kesukaan dan di waktu mereka dalam kedukaan.
“Walau pun kesemua wakil rakyat kita (PAS) dan Ahli Parlimen tidak ada peruntukan khas kerajaan tetapi kita berusaha cari untuk menyelesaikan masalah.
“Saya minta pada pilihan raya akan datang masyarakat Tionghua jangan lupa memberikan undi kepada PAS untuk memastikan PAS boleh di Terengganu ini memerintah bagi kali yang ketiga,” jelasnya.
Justeru katanya, PAS tetap meraikan masyarakat Tionghua yang bakal menyambut Tahun Baharu Cina ini.




























