GST ; Beban Yang Tidak Berkesudahan

1530

Oleh : Salwanaa Ghani

KUALA NERUS – GST cukai yang dikenakan oleh kerajaan kepada semua golongan rakyat adalah beban yang tidak berkesudahan, yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Ketua Lajnah Ekonomi Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Nerus (DMPKKN) Ustazah Zaidah Binti Awang berkata, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan disebabkan GST meningkatkan perbelanjaan isi rumah.

“harga barang- barang asas keperluan dapur naik, yang menyebabkan kehidupan rakyat semakin tertekan khususnya suri rumah,

“ramai suri rumah yang terpaksa keluar bekerja demi untuk membantu menambah pendapatan rumah tangga,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui selepas program Bengkel Membuat Mee Kuning dan pelbagai jenis biskut di sini, pada Rabu 9 Mei.

Oleh itu, kata beliau, Lajnah Ekonomi Muslimat akan berusaha untuk mengeluarkan makanan sendiri disamping mengedarkan produk-produk muslim sedia ada di pasaran, bagi menjana ekonomi ummah.

“dengan itu kami terus mencari alternatif yang akan dapat membantu menjana ekonomi muslimat di luar sana di samping kami sendiri turut membantu memasarkan produk-produk muslim untuk kegunaan masyarakat Islam khususnya,

“satu dun satu produk……setakat ini hanya muslimat dari Lajnah ini di DUN Tepoh berjaya merealisasikan produk yang mereka usahakan sendiri iaitu seperti makanan sejuk beku dan pelbagai jenis kerepek,”jelasnya.

Justeru kata beliau, semangat wanita agung Saidatina Siti Khatijah perlu menjadi contoh kepada semua Muslimat.

“jadikanlah beliau model  yang berjaya dunia akhirat……….teruskan semangat mahu mencuba dan bersungguh berusaha untuk majukan diri sentiasa ikuti kursus- kursus atau bengkel untuk tambahkan kemahiran,” tambahnya.

Beliau juga berharap muslimat jangan ada sikap sambil lewa kerana ini akan mengakibatkan lambat usaha untuk maju.

Sehubungan itu, seorang peserta Rahmah Ngah dari Kampung Tepoh menyifatkan usaha Muslimat itu sebagai sangat baik bagi menambah pendapatan keluarga.

“di zaman ekonomi meleset sekarang adalah amat bagus Muslimat bersama berusaha untuk menjana pendapatan dengan membuat pelbagai perniagaan sampingan,

“dengan itu dapat membantu keluarga dalam menyumbang ke arah hidup yang lebih bermanfaat,” katanya.

Beliau juga merupakan usahawan yang menjalankan perniagaan kecil- kecilan seperti menjual air tahu, makanan ringan di sekitar daerah ini.