Generasi Kedua Penduduk KETENGAH Paling Teruk

3293

DUNGUN – Generasi Kedua penduduk kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) adalah golongan yang paling teruk menerima tekanan masalah sosial.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Bukit Besi, Muhammad Hanif Safwan bin Mansor berkata, antara masalah utama yang dihadapi mereka adalah tidak mempunyai rumah sendiri, tiada pekerjaan dan peluang perniagaan.

”Generasi kedua (KETENGAH) ialah paling teruk sekali. Dalam satu rumah itu, generasi kedua ramai mana yang sudah berumah tangga, tetapi terpaksa duduk sekali dengan ibu bapa mereka,

”satu rumah ada dua, tiga, keluarga…..kebanyakan tidak memiliki rumah sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kampung Durian Mas, pusat bandar Al-Muktafi Billah Shah, pada Selasa 3 April.

Menurutnya, generasi yang berumur 30 tahun keatas itu juga ramai yang menjadi penganggur kerana tiada peluang pekerjaan.

”(hampir) semua tidak ada kerja…..tiada peluang pekerjaan (dan) KETENGAH sendiri tidak menjadikan orang ‘Durian Mas’ satu kelebihan,

”Dia (KETENGAH) lebih berminat ambil orang lain, orang luar sebagai pekerja. Kalau hari ni, bangunan kedai, banyak mana tutup,

”sedangkan ramai orang yang nak berniaga…..orang muda (umur) 30-an tiada kerjalah,” jelasnya.

Kata beliau, ramai yang menghadapi masalah sukar itu turut dijangkiti budaya negatif seperti terlibat dengan jenayah dan penagihan dadah.

”(hanya) buat kerja kampung, kerja-kerja projek….(ada yang) terpaksa kerja di luar sehingga ke Pengerang (Johor), sebab itu, (kejadian) jenayah tinggi di Durian Mas ini,

”dalam kawasan sekecil ini, sudah tiga orang yang meninggal dunia kerana bunuh diri, gantung diri, dua tiga tahun yang lalu,” tegas beliau.

Kejadian tersebut, kata beliau adalah berpunca dari masalah pengangguran dan mereka terbabit dengan penagihan dadah.

Oleh, beliau menyifatkan, walaupun KETENGAH mampu membangunkan kawasan luar bandar, tetapi gagal dalam mendidik masyarakat.

Katanya, walaupun terdapat pusat pengajian tinggi seperti UiTM, Kolej Ketengah dan lajn-lain, ia tidak mampu memberi ‘tarbiyah’ kepada penduduk kawasan itu.

Justeru katanya, PAS telah melaksanakan program pendidikan masyarakat seperti kuliah-kuliah agama, kegiatan rekreasi, walaupun tidak banyak tetapi membawa perubahan.

Malangnya kata beliau, persepsi penduduk setempat yang menanggap PAS hanya sebuah parti politik semata-mata, bukan gerakan dakwah dan kebajikan menyebabkan mereka ‘sinis’ terhadap parti itu.

”kami para pemuda PAS terus bekerja, bukan hanya atas dasar politik tetapi kerana perjuangan…..saya sendiri pun orang membuat andaian, saya orang politik,

”tapi saya dan anak-anak buah saya bukan sahaja bergerak atas dasar politik (dan) ramai yang bertemu saya termasuk anak-anak orang Umno yang meminta pertolongan dan kita bantu setakat yang boleh,

”tapi mereka tak nampak (kebajikan yang PAS lakukan),” tambah beliau