Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) telah berdialog dengan Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan & Selangor, Datuk Haji Aslah Abdullah pada 2 September lalu. Ketika pertemuan itu, beliau juga sudi menyatakan komitmen untuk menghadiri Kongres Rakyat Wilayah Persekutuan yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.
Berdasarkan perkembangan semasa sehingga semalam, DPPWP berharap agar cadangan solusi isu teksi, Uber dan GrabCar dapat digarap dengan berkesan dalam Kongres Rakyat WP nanti. Pihak kami bersedia untuk terus membawa isu berkenaan kepada pihak SPAD pada bulan hadapan bagi menambahbaik Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang telah dicadangkan sebelum ini.


Berdasarkan maklum balas di media kelmarin, ramai pula pemandu Uber dan GrabCar tidak bersetuju dikenakan syarat supaya memiliki lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV). Pada masa yang sama, pengusaha teksi pula melabelkan mereka sebagai ‘Prebet Sapu’ dan menentang kewujudannya kerana ia telah menjejaskan sumber pendapatan pemandu teksi. Oleh itu, isu ini tidak dapat diselesaikan dengan baik kerana ia masih tidak mendapat konsensus di antara kedua-dua pihak.
Selain itu, untuk mendapatkan pandangan yang lebih adil, DPPWP juga akan mengadakan perjumpaan dengan syarikat pengendali Uber dan GrabCar pada hujung bulan ini atau bulan hadapan. DPPWP bertekad untuk membantu menguruskan isu ini kerana ia melibatkan sehingga 60,000 individu samada mereka memandu teksi atau kereta Uber dan GrabCar. Kami juga tidak menolak kemungkinan ia boleh dijadikan satu contoh kes yang kecil sekiranya Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dikuatkuasakan di Malaysia selepas ini.
Ir. HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
19 Zulhijjah 1437 | 21 September 2016




























