“Game-Over” Untuk UMNO BN

1039
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita12/himpunan%201juta%20rakyat.jpg

Fasa terakhir ini bermula dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 yang akan diadakan pada hari Sabtu – 12 Januari 2013, dari jam 2.00 pm hingga 5.00 pm di Stadium Merdeka.

Dari soal Lynas, Felda, Royalti, Pengerang, tuntutan Bersih, pembelian kapalselam dan banyak lagi isu rasuah dan penyelewengan; himpunan gergasi ini akan menjadi tanda jelas penolakan rakyat terhadap kejelekan dan sikap semberono pemerintah UMNO-BN merompak hak Rakyat. Penolakan ini kita akan muktamadkan dalam PRU 13 kelak.

Saya juga percaya terdapat usaha sistematik pemerintah dan media arus perdana dengan membangkitkan isu-isu lapuk seperti Amanat Hadi yang telah berusia lebih 30 tahun bagi mengalih perhatian masyarakat dari acara terbesar dalam sejarah tanah air kita ini.

Memandangkan kerajaan takut untuk menjemput Tuan Guru Presiden untuk bermuzakarah secara “live”, kami berpandangan isu ini telah gagal diexploitasi oleh UMNO dan boleh diisytihar sebagai “game-over”. Saya ingin mengajak semua pihak untuk meninggalkan permainan media pemerintah, kembali fokus kepada PRU 13 dan menggunakan semua ruang yang ada  – facebook, twitter, emel, banner dan sebagainya untuk merancakkan hebahan Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 ini lantas melipat-gandakan penyertaan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia telah pun mengeluarkan arahan kepada seluruh saf pemuda untuk turun beramai-ramai menjayakan himpunan ini.  Kita menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 pemuda PAS untuk bersama-sama warga Malaysia yang lain membanjiri dataran stadium Bukit Jalil kelak. Suara Sejuta Umat akan bergema merayakan perubahan, InsyaAllah!

Sehingga setakat ini kami dimaklumkan rakyat Malaysia di London, Taiwan dan Sydney telah pun bersedia untuk mengadakan himpunan yang sama bagi meraikan himpunan rakyat di Kuala Lumpur ini. Oleh itu, kita juga telah meminta pendokong PAS luar negara di lokasi-lokasi utama lain untuk mengadakan himpunan yang sama sebagai tanda sokongan.

Pada masa yang sama, DPPM telah pun menjemput wakil-wakil kepimpinan pemuda di dalam Pakatan Rakyat untuk mengadakan mesyuarat koordinasi.  Ianya bertujuan untuk memperhebat promosi dan menjayakan himpunan ini sebagai himpunan terbesar dan paling aman di dalam sejarah Malaysia.

Unit Amal Malaysia juga telah siap siaga untuk memainkan peranan penting mengawalselia perhimpunan itu kelak. Pada masa yang sama, kita berharap pihak keselamatan khususnya PDRM dapat menghalang mana-mana anasir jahat yang cuba untuk membuat provokasi bagi mengganggu kesusilaan himpunan.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan muda untuk  turun beramai-ramai menjayakan himpunan ini. Ayuh kita jadikan Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 suatu pengalaman yang menakjubkan lalu mencatat lakaran penting dalam lipatan sejarah negara untuk menuntut perubahan. Mari bersama kita mencorak masa depan yang lebih gemilang untuk Malaysia.

Nasrudin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia