Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Jika Indonesia terpanar dengan kesan “gelombang hijau” akibat penghijrahan artis, seniman dan budayawan papan carta utama seperti Deddy Mizwar, Opick dan puluhan nama besar yang lain, negara kita juga mengalami ombak seni yang sama sekitar lima tahun ini. Kelompok seniman yang mencari jalan hidup bertuhan telah menjadi fenomena besar tanahair sehingga menimbulkan kegusaran pihak berkuasa apabila anak seni ini memilih untuk bersama gerakan Islam. Nama besar bidang seni seperti Azmil Mustapha, Bob Lokman, Pierre Andre, Abby Abady, Zuar XPDC, Ali XPDC, Zulkifli M.Osman, Sham kamikaze dan ratusan yang lain seolah membentuk satu gelombang besar yang memercik kesannya pada masyarakat. Mereka hadir dalam majlis forum, talkshow, sembang santai, misi kebajikan, misi dakwah jalanan, juga menghadiri usrah dan memeriahkan panggung dakwah tanahair.
Memandangkan artis merupakan kelompok elit dalam strata baru masyarakat, maka menjadi kewajaran kepada gerakan Islam mendekati kelompok ini kerana kesan kepada masyrakat adalah sangat besar. Parti Islam Indonesia PKS (Partai Keadilan Sejahtera) sebagai sebuah contoh gerakan Islam yang telah berjaya memanfaatkan fenomena seni di negara tersebut. Mereka mempunyai halaqah-halaqah yang dipimpin oleh kader-kader dakwah PKS untuk mengadakan konsert-konsert alternatif terutama untuk menyalurkan bakat artis-artis yang telah kembali ke pangkuan hidayah Islam. Kesannya PKS menjadi parti yang dekat dengan golongan anak muda dan remaja, serta dilihat tidak anti sosial dan yang lebih penting mesej kepada masyarakat bahawa Islam tidak menolak hiburan yang tidak bercanggah dengan syarak.
Para amilin gerakan Islam sehingga sekarang menanti filem-filem ‘gaya kita’, menurut kebenaran yang kita perjuangkan seperti mengenai tokoh-tokoh ulama seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Haji Hassan Munas (Tok Janggut), wajar rasanya dengan beberapa buah kerajaan negeri yang kita kuasai dapat mengeluarkan bajet untuk menghasilkan filem-filem sejarah besar ini, apatah lagi dengan sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu hari ini cuba untuk memencilkan peranan para ulama. Seingat saya kerajaan Libya yang dipimpin oleh Muammar Ghadaffi telah mengeluarkan puluhan juta dollar US untuk menghasilkan filem sejarah tokoh ulamanya yang tersohor Umar Mukhtar-Lion of the Desert, filem sejarah perjuangan kemerdekaan ini telah ditonton oleh jutaan khalayak di seluruh dunia dan berjaya mengangkat martabat ulama Libya ini yang akhirnya terkulai di tali gantung. Filem ini merakamkan dengan baik sikap patriotisme umat Islam dalam menentang penjajah Itali.
Kerajaan negeri dibawah Pakatan Rakyat juga wajib dilihat mesra anak seni yang berhijrah, menawarkan peluang pekerjaan yang sesuai, juga mengeluarkan bajet untuk seni dan hiburan alternatif berkembang bagi menggantikan hiburan bersadur “sensate culture” yang dibajai oleh regim BN selama ini. Ramai juga kalangan anak seni yang berhijrah ini akhirnya kembali ke dalam industri dan menanggalkan pakaian hijrah mereka, ini berkemungkinan dengan faktor desakan ekonomi dan juga kegagalan gerakan Islam, malah kerajaan PR untuk menyediakan ruang untuk mereka. Rasanya belum terlambat untuk gerakan Islam , kerajaan negeri milik PR memanfaatkan kelompok seniman ini untuk jangkapanjang perjuangan, meluaskan dimensi hiburan bernuansa Islami sekaligus mampu mengekang kebejatan moral masyarakat yang semakin merudum.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah Pusat)