FASTAQIM : ‘One Stop Center’ Ahli dan Penyokong PAS

1357

Esok 17 Oktober 2015 adalah hari bersejarah. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah menganjurkan satu himpunan mega di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu Kelantan. Himpunan ini diberi nama Himpunan Fastaqim (H60K).

2. Fastaqim dengan maksud bangkitlah berjuang dan menunaikan tanggungjawab perjuangan dengan penuh dedikasi dan pro aktif. (H60K) pula adalah angka sasaran untuk melimpahi segenap ruang stadium Sultan Muhammad IV tersebut.

3. Himpunan ini adalah bersifat aman. Tanpa amarah dan emosi memberontak. Sangat sesuai disertai seisi keluarga. Pula sarat dengat aktiviti yang santai, merehatkan minda, mengeratkan silaturrahim, menyemarakkan semangat juang, informasi yang benar dan amanat perjuangan dari sang komander.

4. Turut diperkayakan dengan Munajat Perdana dan santapan spiritual selepas solat maghrib berjamaah ke arah membina peribadi yang teguh berjuang mendepani cabaran luar dan dalam. Lantaran itu jangan lupa :

i – hadhir berwudhu’ ( atau bekal sebotol air mineral untuk berwudhu’ )

ii – bawa sejadah atau tikar sembahyang.

5. Tema himpunan ini ialah hijau. Pastikan anda tidak lupa untuk bergaya dengan baju rasmi FASTAQIM sama ada lengan panjang atau pendek dan pastinya menutup aurat dengan sempurna bagi lelaki dan wanita. Elakkan bersesak – sesak muslimin dan muslimat. Insyaallah kita sediakan laluan dan area yang selesa untuk muslimin dan muslimat. Ingat ! Himpunan FASTAQIM ini adalah Himpunan Ibadah.

6. Acaranya ibadah malah keseluruhan agendanya adalah ibadah. Semoga Allah swt merestui Himpunan Fastaqim ini yang juga merupakan “One Stop Center” bagi ahli PAS dan penyokongnya dari seluruh negara bertemu dan menumpahkan rindu bersulam ukhuwwah Fillah. Pastinya aneka camera dan smart phone di bawa bersama untuk merakam kenangan indah melalui detik – detik bersejarah ini.

7. Saya cadang anda dapatkan 1001 selfie bersama rakan – rakan anda dari seluruh negara dan jangan lupa muat naikkan dalam facebook masing – masing dan pastikan anda share ke facebook Himpunan Fastaqim – H60K.

8. Sehubungan dengan itu, saya memohon jasa baik Celcom, Maxis, DIGI dan lain – lain syarikat telekomunikasi agar meningkatkan upaya capaian pengguna pada hari berlangsungnya Himpunan Fastaqim ini. Tentu sahaja trafic cyber menjadi amat sibuk apabila 60 ribu pengguna dalam satu masa dan satu lokasi mengakses talian masing – masing.

9. Tentu sahaja syarikat telekomunikasi terbabit beroleh untung dari akses yang pro aktif dari peserta Himpunan Fastaqim selain Fastaqim juga memuat naik ke jalur lebar pelbagai warna kenangan dan imej yang menarik.

10. Saya dan seluruh warga Sekretariat Penganjur Himpunan Fastaqim iaitu PAS Pusat, Dewan Ulamak PAS Malaysia, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dewan Himpunan Penyokong PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan mengalu – alukan kedatangan semua tetamu dan mendoakan agar perjalanan kita semua selamat pergi dan balik. Justeru itu saya ingatkan diri saya dan kita semua agar :

– hati – hati memandu di jalanraya
– berhemah dan jaga akhlak
– jangan memandu jika letih/mengantuk
– patuhi undang – undang jalanraya
– jangan berlumba & memandu gopoh
– periksa kenderaan anda
– jangan bawa alat tajam merbahaya
– sabar/tenang jika sesak di jalanraya
– jaga kesihatan dan keselamatan
– jangan lupa doa naik kenderaan

Beristiqamah Hingga Kemenangan.

Sekian.

Nasruddin Hassan
Ketua Penerangan PAS
Setiausaha FASTAQIM