Fastaqim 2.0; Persiapan Tapak Dijangka ‘Beres’ Lebih Awal

2107

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

KUALA NERUS – Kerja persiapan tapak Fastaqim 2.0 dijangka ‘beres’ lebih awal berikutan sambutan petugas yang begitu bersemangat, bukan sahaja dari kawasan Kuala Nerus bahkan ada juga sukarelawan yang turun dari kawasan Setiu.

Ketua Persiapan Tempat Fastaqim 2.0, YB Dr Alias Razak berkata, kerja-kerja pembersihan dan ‘menerang’ kawasan tapak program bermula pada Jumaat, 8 September yang lalu dan insya Allah akan berterusan sehingga Khamis, 28 September, hari akhir untuk persiapan.

“Kita jangka kerja ditapak program dapat disiapkan lebih awal, mungkin dalam minggu ni pun kita sudah dapat membersihkan seluruh kawasan yang luas hampir 30 ekar ini. Hanya menunggu kehadiran peserta-peserta daripada seluruh negara,

“Jadi setakat ini saya selaku Ketua Unit Persiapan amat berpuas hati dengan kerjasama dan juga hasil kerja-kerja gotong royong daripada semua pihak. Saya ucap terima kasih banyak-banyak dan kalau kita tengok kawasan gerai jualan memang sangat luas.

“Kita jangkakan muat lebih daripada 200 gerai yang berkanopi dan insya Allah di hujung sana kita juga sediakan 100 lot tapak gerai yang tidak berkanopi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di tapak Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu, Ahad 10 September, disini.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Terengganu itu, sehingga kini sambutan daripada peserta seluruh negara sangat hebat, cuma menunggu hari sahaja.

Beliau menjangka, bahagian kanopi akan mula masuk pada 20 September diikuti bahagian elektrik dan air.

“Dan kerja-kerja akan lebih agresif selepas daripada 20 September ni oleh petugas-petugas kita bagi memastikan ianya berjaya disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan saya rasa inilah peluang yang sangat baik kepada peserta seluruh negara kerana tempat berlangsungnya Fastaqim kali ini merupakan tempat rekreasi,

“Kita ‘outdoor’ kali ini dengan suasana pantai dan laut yang menenangkan jiwa juga suasana nyaman dan redup bernaung dibawah pokok Ru ditepi pantai seolah-olah kita hadir ke satu majlis perkelahan jadi amatlah rugi kalau tak datang,” jelas beliau, yang juga ADUN Bukit Tunggal.

Justeru, itu beliau berharap, dengan segala persiapan yang terbaik disediakan, seluruh peserta Fastaqim 2.0 akan merasa selesa dengan keluasan yang begitu lumayan dan besar.

“dan kepada seluruh ahli dan penyokong PAS, jom hadir beramai-ramai bagi menjayakan program Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu, Terengganu, Darul Iman,” tambah Dr Alias.