DUN Tepoh Beri Sumbangan Ramadhan Kepada 1000 Fakir Miskin

1419

Oleh KAM

KUALA NERUS – Majlis Tindakan Dun (MTD) Tepoh setiap tahun bulan Ramadan memperuntukan tidak kurang dari 1000 keluarga fakir miskin serta golongan yang memerlukan bantuan kebajikannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata menjadi agenda tahunan bulan Ramadan agihan kepada orang miskin dalam kawasan Dun Tepoh ini.

Malah, katanya peruntukan lebih RM50 ribu diperlukan bagi menjayakan program kebajikan sempena bulan tersebut.
Menurutnya, dengan bantuan NGO seperti Kelab Motosikal Terengganu (KMT) boleh meringankan sedikit kos yang diperlukan itu.

“Lazimnya setiap tahun untuk kawasan (Dun) Tepoh ini pada bulan Ramadan lebih kurang 1000 keluarga yang kita (PAS) agihkan kepada orang miskin. Ini menelan belanja lebih RM50 ribu kos agihan tersebut.

buletin2“Apabila datang sumbangan dari ahli kelab (KMT) ini dapat mengurangkan sedikit kos yang terpaksa kita (PAS) tanggung itu.

“Kita (PAS) sebagai wakil rakyat pembangkang tidak ada peruntukan khas daripada kerajaan negeri (Terengganu) untuk menjaga atau memberi perhatian kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis agihan bantuan Ramadan di Unit Peti Undi (UPU) Tok Jiring dengan kerjasama Kelab Motosikal Terengganu (KMT) di Parti Qariah Tok Jiring, Kuala Nerus 11 Jun.

Seramai lebih 30 ahli kelab KMT yang diketuai oleh Syed Mohd Zailani Ku Sulong dan Muaazan Mohamad mengadakan program bersama dengan MTD Tepoh mengagihkan sumbangan tersebut.

Ustaz Hishamuddin menjelaskan meski pun wakil rakyat pembangkang dari PAS tidak diberikan peruntukan khas tetapi kerja-kerja kebajikan itu dapat dilaksanakan dengan baik.

buletin4Apa yang penting, katanya rakyat yang terdiri dari golongan fakir miskin dapat menikmati kehadiran bulan Ramadan dengan sempurna.

Menurutnya, peranan cawangan-cawangan PAS amat penting bagi menjadi mata telinga kepada parti mengenai masalah rakyat.

“Alhamdulillah, kami dalam PAS mendapat sokongan padu dari cawangan-cawangan PAS dan sebelum bulan Ramadan lagi kita telah gerakkan cawangan-cawangan itu untuk kenal pasti penerima terbabit.

“Setakat ini kita telah selesai beberapa tempat pada 9 Jun baru-baru ini kita selesai (agihan) di UPU Kampung Padang Air, 10 Jun di UPU Kampung Bukit Berangan dan 11 Jun, di sini (UPU Tok Jiring) dan kita tidak berhenti sepanjang Ramadan.

“Tujuan ini untuk meringan sedikit masalah rakyat yang cukup terbeban pada hari ini dengan pelbagai kenaikan harga barangan serta cukai GST.

“Ini supaya mereka (penerima) dapat berpuasa dan beribadah dengan baik termasuk menyambut hari raya Idulfitri akan datang,” jelasnya.

Pada program tersebut seramai 50 orang golongan fakir miskin yang terdapat dalam UPU Tok Jiring menerima sumbangan berupa beras serta barangan dapur.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua UPU Tok Jiring, Ustaz Muzaihar Kamal Mustafa Kamal dan Ketua PAS Cawangan Tok Jiring, Fathi Abdul Aziz Dato’ Abu Bakar.