Duka 14 Tahun Lalu Bakal Terubat

3671

Oleh : DMS

KUALA TERENGGANU – Duka yang membekas di hati seorang ‘perwira’ negara bakal terubat apabila kerajaan PAS memberikan komitmen untuk mengembalikan tanah yang yang telah dirampas oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) 14 tahun yang lalu.

Tanggal 19 Mei 2005, menjadi sejarah yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh seorang bekas tentera Ab Khalid Shaari, 49, apabila rumahnya telah dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Menurut Khalid, tragedi itu akan sentiasa segar dalam ingatannya kerana ianya adalah satu penganiayaan kepadanya yang jelas salah di sisi undang-undang.

“saya masih menyimpan segala dokumen yang sah berkaitan tanah yang diberikan oleh kerajaan PAS dahulu.

“Ini salinan lesen Pendudukan Sementara di Lot 11988 RTB Pengkalan Merbau, Sungai Tong.” ujarnya sambil menunjukkan segala dokumen yang berkaitan.|

Khalid ditemui  di rumah peninggalan ibu mertuanya di Batu Rakit semalam berkata, beliau telah diberikan kebenaran dan mempunyai Lesen Menduduki Sementara (LMS) bermula 7 Julai 2003.

Malangnya, kata beliau, walaupun tempoh tamat lesen pada 31 Disember 2006, namun rumah yang dalam pembinaan itu telah dirobohkan atas alasan menduduki  ‘secara haram’.

Mengimbas peristiwa yang pernah menggemparkan seluruh negara itu, Khalid yang ketika itu berkhidmat untuk negara sebagai seorang askar, terkilan dan sayu atas apa yang berlaku.

“Ibarat jatuh ditimpa tangga, saya membuat pinjaman sebanyak RM25 Ribu daripada Koperasi Angkatan Tentera Malaysia dan telah dibelanjakan RM 24,010.00 untuk membina rumah tersebut.

“Perasaan ? Sudah semestinya sesiapun yang berada di tempat saya ketika itu akan sedih, marah, sayu dan segala perasaan timbul ketika itu,” ujarnya yang kelihatan menahan linangan airmata.

Justeru dengan janji daripada kerajaan negeri pimpinan PAS selepas PRU 14 untuk menyelesaikan masalah tanah-tanah yang dirampas, Khalid berharap haknya dapat dikembalikan.

“Terima kasih kepada  kerajaan di bawah pimpinan YAB Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang akan mengembalikan semula hak kami rakyat yang teraniaya,

“Saya berharap akan ada situasi menang-menang untuk kebaikan semua.” ujarnya yang turut berharap kos pembinaan rumahnya dahulu juga dikembalikan.

Sehingga kini Khalid berkata, beliau telah mengisi borang untuk mengemaskini pemilikan semula tanah RTB di Pejabat Tanah Setiu pada akhir Disember 2018.

Ia adalah, katanya, susulan daripada perjumpaan dan cadangan Pegawai Penyelaras (PP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof berkaitan usaha kerajaan untuk menyelesaikan masaalah semua penerima RTB.

“saya juga telah menyerahkan segala dokumen berkaitan perkara ini kepada peguam Tetuan Abdul Haris & Co, selepas menghadiri maklumat susulan perjumpaan peserta RTB bersama peguam yang dianjurkan oleh PAS Kawasan pada November lalu,” kata Khalid.