Seperti raya tahun lepas, kita sambut kepulangan perantau balik kampung dengan GANGGUAN BEKALAN AIR ke 50,000 buah rumah, 47 kampung di Kuala Terengganu dan 4 kampung di Marang.
Saya pernah sebut hal ini tahun lepas dan disiarkan di Harakah Daily
Lupakan saham LPT2, kembalikan RM1.8 billion
HARAKAHDAILY | 19 Julai 2015.
Saya terkejut dengan tajuk laporan akhbar Sinar Harian yang berbunyi Kerajaan Terengganu Pohon Saham LPT2.
Adakah selama ini sehingga lebih RM1.8 billion wang negeri Terengganu yang telah digunakan untuk pembinaan LPT2 itu memangnya sebelum ini tidak pernah difikirkan sebagai saham di dalam projek berkenaan atau kerajaan Terengganu membayar dahulu atas dasar sebagai pinjaman wang kepada pusat?
Adakah baru hari ini mahu berunding memohon sejumlah saham dalam LPT2?
Atau adakah sebelum ini pada asalnya negeri Terengganu yang mempunyai bilangan penduduk termiskin antara yang teramai di seluruh negara, mahu memberi percuma wang negeri yang berjumlah lebih RM1.8 billion itu?


Masalah air di Terengganu bukan berpunca kekurangan bekalan air mentah. Malah Terengganu kaya dengan sumber air. Masalahnya kegagalan mewujudkan pelan jangka panjang bekalan air negeri.
Gangguan bekalan air menjejaskan lebih 60,000 rumah kediaman di Terengganu pada musim perayaan Aidil Fitri ini.
Wang RM1.8 billion bukan sahaja cukup untuk selesaikan isu air. Malah lebih dari cukup untuk memperbaiki kekurangan dan kelemahan perparitan yang turut menyumbang kepada masalah banjir setiap tahun.


Jangan pula ada pemimpin Umno yang terus buta dan meneruskan tradisi mengampu pemimpin mereka sehingga berkata rakyat tidak menghadapi apa apa isu di Terengganu. Terengganu ketandusan isu kata mereka.
Bukalah mata kepada masalah tanah milik orang Melayu terutamanya di kawasan bandar yang satu persatu diambil kerajaan. Ini belum lagi tekanan tawaran harga yang menyebabkan ramai yang menjual kepada bukan Melayu. – HARAKAHDAILY 19/7/2015
AHMAD AMZAD HASHIM
Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu





























