Perlembagaan Tunisia berdasarkan syariah Islam

745

TUNIS – Parti ketiga terbesar yang menguasai parlimen Tunisia, yang dipertanggungjawabkan bagi melakar perlembagaan baru negara itu, kelmarin mengusulkan satu dokumen draf yang didasarkan atas syariah Islam.

Ia dijangka membimbangkan pihak-pihak berfahaman sekular di negara tersebut.

Parti berfahaman Islam sederhana, Ennahda, memenangi 40 peratus atau 89 kerusi parlimen Tunisia pada pilihan raya pertama negara itu sejak penggulingan bekas presidennya, Zine al-Abdine Ben Ali, sekitar setahun lalu, yang mencetuskan gerakan pembaharuan prodemokrasi ‘Arab Spring’ di seluruh dunia Arab.

[Gambar – Ahli-ahli Parlimen Muslimat Tunisia menghadiri sidang pada 23 November lalu]

Ini diikuti oleh parti Sidang bagi Republik, yang memenangi 29 kerusi dalam parlimen 217 kerusi itu, dan parti Aridha Chaabia, atau Popular List, yang menjadi parti ketiga terbesar yang menguasai dewan tersebut.

Jika saranan itu mendapat sokongan lebih 60 peratus daripada semua ahli parlimen, ia akan diluluskan tanpa memerlukan satu pungutan suara.

Aridha Chaabia dalam satu kenyataannya berkata, dokumen drafnya ‘menetapkan dalam artikel pertamanya bahawa Tunisia adalah sebuah negara bebas, merdeka dan berdaulat, Islam adalah agamanya dan sumber utama undang-undangnya, bahasa Arab adalah bahasanya dan sistemnya adalah sebuah republik’.

‘Menggunakan syariah Islam sebagai satu sumber prinsip perundangan akan menjamin kebebasan, keadilan, persamaan sosial, perundingan, hak asasi dan martabat semua rakyatnya, lelaki dan wanita,’ menurut draf perlembagaan itu.

Usul itu sudah pasti membangkitkan ketegangan politik di Tunisia, dan pihak berfahaman sekular sudah pun dalam kebimbangan bahawa pemerintah yang dipimpin Ennahda akan secara beransur-ansur ‘mengislamkan’ undang-undang Tunisia dan masyarakatnya.

Bagaimanapun, Ennahda sebelum ini telah memberi jaminan bahawa ia tidak berhasrat memaksakan undang-undang Islam di negara itu.

Namun, ia kelihatannya sukar untuk mengawal pihak lebih konservatif yang lantang dengan permintaan bahawa agama memainkan peranan penting dalam kehidupan awam.

Ennahda belum lagi menjelaskan kedudukannya mengenai peranan agama dalam menggubal undang-undang dan terdapat perpecahan dalam pertubuhan itu sendiri berhubung isu yang boleh mencetuskan ketegangan dalam negara yang telah lama dianggap paling liberal di Dunia Arab itu.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Ennahda akan menyokong draf tersebut.

‘Pihak awam yang mengundi kami adalah orang awam yang konservatif, yang mahukan syariah Islam sebagai sumber prinsip perlembagaan,’ kata Hachmi Hamdi, ketua Aridha Chaabia, kepada agensi berita Reuters menerusi satu panggilan jauh dari London