Dewan Ulamak PAS Terengganu Melangkah Usia 50-an

2610

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Azizan Razak dijangka akan merasmikan sambutan 50 Tahun Sambutan Jubli Emas Dewan Ulama’ PAS Negeri Terengganu.

Timbalan Ketuanya, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata Dewan Ulama’ PAS Terengganu ditubuhkan pada 17 Mei 1962 di Pejabat PAS Kuala Terengganu.

Menurut beliau, penubuhannya dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Omar Syukri Embong bersama 31 orang para ulama’ dan pencinta Islam di seluruh negeri Terengganu.

Selepas itu, katanya Haji Abbas Awang dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu pertama bersama Haji Mukhtar Said (Naib Ketua), Haji Shafie Sulong (Setiausaha) dan Haji Ngah Awang sebagai Bendaharinya.

“Kita (PAS) ada enam orang tokoh agamawan sejak ditubuhkan 50 tahun lalu iaitu Haji Abbas Awang (1962-1965), Haji Shafie Sulong (1965-1972), Haji Ghazali Ahmad (1972-1982), Haji Abdul Hadi Awang (1982-1984), Haji Awang Nasiruddin Abu Bakar (1984-2001) dan Haji Husin Awang (2001 hingga sekarang),” jelasnya.

[Gambar – Kettua dewan Ulamak PAS Terengganu, Dato’ Ustaz husiin Awang. Beliau juda adalah Mantan Speaker Dewwan Undangan Negeri Terengganu 1999 -2004]
Katanya, tema sambutan Jubli Emas Dewan Ulama’ PAS Terengganu iaitu “Ulama’ Peneraju Kemenangan” yang akan diadakan di Rusila, Marang.

Ustaz Abu Bakar berkata antara tujuan sambutan tersebut bagi menghimpunkan para ulama’ yang berada di seluruh negeri ini agar berada dalam satu jamaah.

“Pertama, untuk menghimpunkan para ulama’ di seluruh negeri Terengganu. Kedua untuk merapatkan hubungan dan ikatan ukhuwwah di antara ulama’ dengan masyarakat umum.

“Ketiga, Kita (PAS) mahu memperingati jasa dan pengorbanan para ulama’ dalam perjuangan PAS ini. Keempat, menyemarak dan memantapkan lagi peranan ulama’ dalam meneraju kemenangan Islam.

“Dan kelima, bagi meningkatkan kemantapan kepimpinan ulama’ dalam perjuangan parti,” ujarnya.

Harakah dimaklumkan, para peserta sambutan terdiri dari Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Dewan Ulama’ PAS Negeri Terengganu, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, AJK PAS Kawasan, Guru-guru Dar, Guru Pondok, Pusat Tahfiz dan banyak lagi.

Justeru itu, satu pembentangan kertas kerja bertajuk “Ulama’ Peneraju Kemenangan” akan disampaikan oleh Setiausaha Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.

Kuliah Maghrib dan Solat Hajat Perdana akan disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Kemuncak sambutan Jubli Emas tersebut Ceramah Perdana oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Azizan Razak, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Dato’ Nasaruddin Daud, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan Ketua Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Husisn Awang.