Dewan Pemuda Yakin PAS Terengganu Laksana Manifesto

2513

Oleh : Rohayati Ripin (2R)

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Pusat yakin kerajaan negeri Terengganu dapat melaksanakan semua manifesto yang dijanjikan oleh parti itu dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi berkata, PAS tidak hadkan untuk melaksanakan janji tersebut dalam masa atau had tertentu.

“Kita tidak menghadkan masa seperti Pakatan Harapan (PH) nak laksanakan dalam tempoh 100 hari,

“apa yang kita boleh buat segera kita akan lakukan segera… apa yang penting kita laksanakan secara keseluruhannya mengikut keutamaan dan mengikut kemampuan yang kita ada,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat berkata demikian pada sambutan rumah terbuka Aidilfitri kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Buruk hari Selasa, 19 Jun.

Namun begitu, beliau berkata, apa yang ditawarkan oleh PAS adalah, ada perkara boleh dibuat segera dan ada perkara yang memerlukan masa kerana ia memerlukan kepada proses di setiap peringkat, sehingga ianya dapat dilaksanakan.

“PAS memberikan komitmen yang sangat tinggi untuk menjayakan seluruh tawaran manifesto yang dijanjikan pada rakyat,

“Antaranya apa yang telah kita laksanakan ialah melalui dana raya yang telah disalurkan kepada rakyat dan meneruskan dana untuk remaja,

“dan begitu juga kita telah mengisytiharkan kenduri kahwin secara berkumpulan yang akan dilaksanakan dua peringkat pertama iaitu bulan Jun dan kedua untuk bulan November,

“serta yang lain-lain kita akan laksanakan secara berperingkat dan akan diisytiharkan oleh kepimpinan kerajaan negeri,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu katanya, konsep yang diambil melalui moto Negeri Terengganu Berkat Maju Dan Sejahtera, yang menjadi platform kerajaan sekarang.

“Semangat yang kita ambil ialah melalui negara berkebajikan yang dilaksanakan diperingkat negeri melalui program dan tawaran-tawaran yang telah kita tawarkan,

“iaitu konsep yang merupakan kerjasama di antara kerajaan dan rakyat kerana setiap mempunyai tanggungjawab satu sama lain,” jelasnya.

Antara ‘orang media’ yang hadir beramah mesra dengan isteri Ustaz Muhammad Khalil, pada program Rumah Terbuka ADUN Batu Burok