Dewan Bedah Setiu: Ahmad Said Main Politik!

778

Dewan bedah itu gagal untuk beroperasi sehingga sekarang walaupun Hospital Setiu sebenarnya telah dibuka semenjak tahun 2003 lagi. Puncanya masih didakwa kerana kelewatan kontraktor untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih dan pengawasan yang tidak serius dari Jabatan Kerja Raya. Dengan makna lain, MB ingin menyatakan, “Itu salah mereka! bukan salah saya!”

Imbas kembali, kenyataan Menteri Besar Terengganu selepas mesyuarat EXCO pada 26 Mei  2011 lepas, di mana beliau menyuarakan kekecewaannya kepada pihak Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan serta kontraktor atas kegagalan Dewan Bedah Hospital Setiu berfungsi setelah lebih tujuh tahun siap dibina.
Lebih awal dari itu,  di dalam simpanan saya, kenyataan pertama berhubung isu ini telah dikeluarkan oleh Menteri Besar Januari 2011 lalu, kemudian disusuli dengan kenyataan kedua pada Mei 2011 seterusnya disusuli pula dengan kenyataan ketiga pada kelmarin (30 Julai 2012), saya melihat ada kecenderungan untuk saling tuduh menuduh apabila sesuatu projek yang dibina bermasalah atau mengalami kegagalan.

Antaranya, sikap menyalahkan pimpinan kerajaan negeri terdahulu (sedangkan MB sekarang adalah sebahagian pimpinan kerajaan negeri terdahulu)  dan kementerian serta agensi kerajaan pusat termasuk pihak kontraktor tanpa ada sebarang langkah konkrit ke arah penyelesaian. Semua polemik ini  tidak akan mendapat memberi sebarang manfaat  kepada rakyat. Malah rakyat akan menjadi pelanduk yang tersepit di antara gajah-gajah yang telah ‘sendawa’ kekenyangan mengaut keuntungan walaupun hakikatnya projek tersebut gagal berfungsi sepenuhnya.

Kalau pada kenyataan Menteri Besar Januari 2011 lalu, soal cat yang tidak berkualiti sehingga menyebabkan serangan hama dan menggelupas, kebocoran bumbung serta resapan air bawah tanah yang semuanya berpunca dari pembinaan yang tidak menepati spesifikasi dikatakan menjadi sebab kegagalan dewan bedah berfungsi, kini setelah hampir 2 tahun berlalu, masalah yang sama masih ditimbulkan serta belum berjaya diperbaiki kalau sekiranya memang benar kerja-kerja pembaikian telah dilakukan.

Pihak pentadbiran Hospital Setiu yang dihubungi pula kelihatan cuba untuk menyembunyikan hakikat keadaan sebenar yang berlaku dari pengetahuan rakyat. Jawapan yang diberikan tidak meyakinkan malah Menteri Besar pula yang disalahkan kerana didakwa terlalu ‘boros’ mengeluarkan kenyataan tanpa mendapatkan fakta sebenar. Malah didakwa oleh sumber dalaman pentadbiran Hospital Setiu, Menteri Besar dikatakan cuba membina imej diri dengan cara suka mengkritik kegagalan orang lain sedangkan beliau (MB) sendiri bersikap lepas tangan.

Tetapi apabila saya tekankan, apakah kenyataan Menteri Besar itu satu kesilapan dan Dewan Bedah Hospital Setiu sebenarnya berfungsi sebagaimana sepatutnya? Jawapannya, Tidak! Sekadar boleh digunakan untuk pembedahan kecil (minor surgery) sahaja. Kenapa dewan bedah yang dibina pada tahun 2000 lagi masih tidak boleh digunakan sepenuhnya? Akhirnya sumber dalaman pentadbiran hospital mengakui, ia akibat dari terlalu banyak campur tangan politik yang sukar dijelaskan. Kenapa dalam soal projek yang melibatkan nyawa dan keselamatan rakyat, masih terdapat campur tangan politik yang memeningkan? Jangan salahkan rakyat kalau mereka sekadar bertanya, apakah projek Hospital Setiu ini juga dibina oleh kontraktor OKU (Orang Kuat Umno)?

Lujnah Pengguna PAS Terengganu merasa terpanggil untuk menyatakan keprihatinan atas apa yang berlaku ini. Kita menegaskan bahawa,   semua polemik dan karenah birokrasi pentadbiran serta mainan politik yang tak bertempat perlu dihentikan segera!

Kita ingin melihat Hospital Setiu yang dibina pada tahun 2000 dan dibuka pada 2003 dengan kos RM65.8 juta benar-benar boleh dimanfaatkan oleh rakyat. Semua agensi yang terlibat baik Jabatan Kerja Raya, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri Terengganu dan pihak kontraktor perlu sekali lagi duduk semeja, berbincang dan mengambil langkah penyelesaian konkrit.

Semua pihak tidak terkecuali baik Menteri Besar, Kerajaan Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya serta kontraktor, wajib segera mengambil tindakan yang cepat dan tepat tanpa perlu saling menunding jari ke arah satu sama lain. Hakikat yang perlu diakui, memang terdapat masalah pada struktur binaan dan kelengkapan Dewan Bedah Hospital Setiu sehingga ia gagal berfungsi sebagaimana dirancang.

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi
Lujnah Pengguna PAS Terengganu