” Demo Tak Kenal Barey Mir……”

307

Oleh : Riduan Mohamad Nor

Melihat ucapan MB Selangor beberapa hari lepas yang membodohkan sosok ilmuan negara ini, aku menarik nafas yang panjang, bergetar rasa marah. Ironinya, apabila adab, budaya santun, menghormati yang lebih tua dan yang lebih alim tiada dalam korpus perjuangan PKR ,sebuah parti yang tumbuh daripada semangat jalanan jeritan reformasi pasca pemecatan Anwar pada tahun 1998. Menghampiri tiga dekad perjuangan parti berasaskan karisma seorang tokoh ini ,rasanya tiada agenda reformasi yang dilaksanakan secara tuntas, bergelut dengan pelbagai isu dalaman bahkan menjadi parti yang rakus memunggah kekayaan.

Jeritan ” bodoh” kepada insan yang sekian lama menggalang amanah dan tanggungjawab mencerdaskan akal anak bangsa serta memanusiakan manusia di tanah watan ini. Kita berpesan kepada MB Selangor ” kail panjang sejengkal ” ini agar merenung bumi yang dipijak walaupun berada diatas hirarki pentadbiran Selangor.

Jangan bersikap kurang ajar , berkarektor melampau ,hilang adab dengan insan yang berjasa. Orang Melayu cukup pantang dengan kelompok ” cakap main hembus”.

Perkataan “BODOH” yang dilontarkan dengan nada tinggi dalam Kongres PKR Selangor kepada Dato Dr Haji Abdul Halim Bin Tamuri, Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga ADUN Paya Jaras sangat tidak manusiawi, ” demo tak kenal barey Mir” ungkap orang Kelantan yang menghuni Shah Alam, Gombak, Pandan, Puchong, Kelang, Puchong. Diaspora rakyat kelantan yang juga pemangkin kekuatan PAS di Selangor yang membentuk kumpulan Kelas menengah Melayu di negeri Selangor.

Dr Halim Tamuri ini bukan seorang insan yang calang- calang kualiti. Mantan Profesor universiti yang telah mencetak ribuan anak didik, malah terlibat dalam menentukan dasar pendidikan negara ini. Dalam organisasi PAS, penulis menggangap sosok ini sebagai abang dalam perjuangan. Minggu lepas dalam permukiman PAS Pusat di Bangi Selangor, beliau menghentikan penulis untuk berucap panjang semasa sesi soal jawab dengan Tuan Guru Presiden. Terasa dikerdilkan tetapi tak sampaikan dua puluh minit dia sudah berada ditepi meja penulis dengan senyuman khas dan rasional mengapa tak perlu penghuraian kepada soalan. Hati sepantas kilat menjadi tenang. Itulah kualiti seorang pemimpin, kata katanya menyerap nurani, mendamaikan sukma, justifikasinya ditelan dengan mudah. Bukan semua orang dilahirkan untuk menjadi pemimpin. Anak Jawa Sabak Bernam ini menonjolkan bakat kepimpinan sejak zaman sekolah, memimpin mahasiswa di Fakulti Pengajian Islam dan Majlis Perwakilan Pelajar kampus UKM .

Dr Halim adalah seorang ilmuan yang memegang pelbagai jawatan di Institut Pengajian Tinggi dalam negara kita dan juga luar negara. Beliau mantan Rektor Kolej Universiti Islam Selangor, panel majlis dakwah Nasional, Presiden Intelektual Muslim Malaysia, lembaga pemegang amanah akademi Islam Universiti Cambridge UK. Ada puluhan jawatan lagi jawatan Adun Paya Jaras ini dalam sektor pendidikan dalam dan juga luar negara. Malah beliau salah seorang ahli dalam jawatankuasa reformasi pendidikan negara. Kepakarannya diakui kawan dan lawan, buku buku penulisan Dr Halim menjadi rujukan pelajar kampus terutama bidang pendidikan.

Bakat ,tendensi , keilmuan serta kegeniusan beliau dimanfaatkan oleh istana Selangor. Anak kampong bergaya sederhana ini juga pernah memegang jawatan penting dalam badan agama Islam di negeri Selangor seperti MAIS.

Berdoktorat daripada kampus Universiti Birmingham dalam Pengajian Islam. Beliau pernah menjadi ahli majlis fatwa Selangor, Jawatankuasa khutbah Selangor, Pengerusi pendidikan dan pembangunan insan MAIS, Pengerusi lujnah Pendidikan PAS dan pelbagai jawatan dalam organisasi kemasyarakatan.

Beginilah Mir, awak anak Johor yang meraih rezeki di Selangor. Elaun awak khabarnya besar, antara tertinggi di Malaysia. Tadi , pemuda PAS Selangor Selangor minta awak berundur, mana mungkin orang politik nak berundur dengan mudah. Reputasi Selangor sebagai negeri maju bukan atas usaha awak, jauh sebelum itu negeri itu tumpuan pembangunan sejak zaman kolonial. Tapi ingat, video ucapan awak dalam Kongres PKR Selangor bergentayangan dimedsos. Rakyat Selangor impikan seorang Menteri Besar berkualiti tinggi, tak pandai menyanyi tak apa. Janji pakej lengkap seorang pemimpin, kualifikasi kertas berprofil tinggi , berintergriti, anak jati Selangor yang piawai, hubungan yang baik dengan istana. Dato Dr Halim Tamuri adalah sosok lima bintang yang akan akan memimpin negeri Selangor selepas PRU 16. Tiada yang sukar jika rakyat mahukan perubahan, apatah lagi kerajaan Selangor yang sedang bergelut dengan isu penternakan babi, masalah sampah , isu banjir yang tak pernah selesai, isu pencerobohan rumah anutan serta bervariasi isu yang akan menamatkan pemerintahan PH di Selangor.

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI )