KUALA TERENGGANU — Deklarasi Alam Melayu dilihat mencetuskan gelombang baharu dalam usaha memperkukuh perpaduan ummah serta menggembleng kekuatan orang Melayu di pelbagai peringkat.
Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Tengku Mohd Fakaruddin Tengku Mohd Fauzi menyifatkan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 telah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghasilkan deklarasi t hasil daripada perbincangan meja bulat melibatkan pakar ekonomi Melayu, tokoh politik, serta pimpinan NGO.
“Deklarasi itu menggariskan empat teras utama yang menjadi fokus kebangkitan ummah, iaitu penyatuan seluruh orang Melayu, pengembalian kuasa politik Melayu, pemerkasaan ekonomi Melayu serta pengurusan perbezaan mazhab dan aliran pemikiran dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Deklarasi ini bukan sekadar dokumen, tetapi satu pelan tindakan yang mempunyai impak besar dalam menyatukan kekuatan Melayu secara menyeluruh,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Dungun berkata demikian ketika dihubungi hari ini di pejabatnya di sini, mengulas Deklarasi Alam Melayu sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali-5 yang diadakan di Stadium Tertutup Negeri Terengganu, Gong Badak pada 2, 3 dan 4hb April.
Tambah beliau, ijtimak tersebut turut menjadi medan penting dalam mengukuhkan kesepaduan menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, dengan harapan tunjang kuasa politik Melayu dapat dikembalikan demi kestabilan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa komitmen kepimpinan PAS dan Perikatan Nasional jelas terpancar melalui usaha bersungguh-sungguh untuk menyatukan kembali orang Melayu serta menggembleng kekuatan politik dan ekonomi mereka, bukan sahaja di peringkat nasional malah merangkumi skala serantau.


“Jumlah orang Melayu di seluruh dunia mencecah ratusan juta. Ini adalah satu kekuatan besar yang perlu digerakkan secara strategik,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa asas utama kepada gagasan perpaduan ini adalah Islam, yang menjadi tunjang kepada kesatuan yang lebih kukuh dan bermakna.
“Perpaduan ini bukan sekadar atas dasar kebangsaan, tetapi lebih besar daripada itu, ia dibina atas dasar Islam yang menjadi kekuatan sebenar ummah,” jelas beliau.
Beliau optimis bahawa melalui inisiatif seperti ini, orang Melayu bukan sahaja mampu mengembalikan kekuatan politik dan ekonomi, malah berpotensi menjadi teraju penting dalam mengembalikan kegemilangan Islam pada masa hadapan.





























