Alangkah baiknya jikalau seorang yang bergelar Menteri Besar menyatakan tindakan diambil terhadap imam jika ucapannya menyalahi hukum syarak dan tidak membetuli hukum hakam Islam. Kalaulah ini menjadi matlamatnya, maka jelas bahawa kurangnya kefahaman yang sepatutnya ada pada seorang pemimpin negeri.
Bacalah sejarah kegemilangan ummah wujudnya penasihat yang berani menyatakan kebenaran walaupun berdepan dengan pemimpin yang zalim seperti yang dilakukan oleh al-Hasan al-Basri kepada Hajjaj Bin Yusuf al-Thaqafi, Faqih al-Syam, Imam al-Auzaie ketika berdepan dengan Abdullah Bin Ali yang memasuki kota Damsyik dan membunuh lebih 36 ribu orang kurang daripada sehari dan ramai lagi.
Jangan jadikan imam dan pendakwah yang bersifat “Amfusana Amfusuni” sehingga hilangnya “Haibah” seorang ulama. Sejarah Terengganu menunjukkan keberanian Tok Ku Paloh berdepan dengan penjajah Inggeris, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong dan ramai lagi. Walaupun sudah lama mereka meninggalkan kita, akan tetapi sejarah keberanian mereka layak ditulis dengan tinta emas dan di abadikan dalam arkib sejarah gemilang Terengganu.
Ingatlah Islam ibarat air bah yang besar jika disekat dengan benteng yang kukuh sekalipun, sudah pasti ia merempuhnya dan memecahkan benteng tersebut bagi meneruskan perjalanan aliran air itu mengikut ketentuan Ilahi.
Justeru saya ingin memberi peringatan, sepatutnya mencari dan menegakkan kebenaran bukan hanya mengisi tembolok dan perut mereka untuk menyelamatkan kerusi yang mereka pegang semata-mata sehingga sanggup mengadaikan agama. Sementelahan lagi dengan hampirnya PRU-13, jelas nampak betapa gelabahnya pemimpin UMNO untuk mempertahankan saki baki kuasa yang akan hilang.
Ingatlah para ulama sebagai pewaris nabi yang diajar untuk menegakkan kebenaran dan menzahirkannya agar tidak termasuk dalam kelompok syaitan bisu.
Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat
6 Jamadil-Awwal, 1434/ 18 Mac, 2013





























