‘Che Ngah’ Ambil Berat Warga Rhu Rendang

2171

Selalu kita mendengar rahsia kejayaan seseorang suami, di belakangnya pasti ada seorang isteri yang hebat.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah merupakan seorang tokoh yang disegani dan mempunyai pengaruh hingga peringkat antarabangsa.

Masa beliau begitu dicemburui dan menuntut banyak pengorbanan yang sering mendapat sokongan dan dokongan dari isterinya yang sudah masak dengan tanggungjawab bagi membantu suami apabila diperlukan.

Sosok tubuh sederhana To’ Puan Hajjah Zainab Awang Ngah, atau lebih mesra dipanggil Che Ngah amat mudah untuk didekati.

Beliau merupakan isteri Ustaz Abdul Hadi memainkan peranan besar, membantu Presiden PAS itu mendekati rakyat di DUN Rhu Rendang dan kawasan Parlimen Marang

Beberapa hari yang kau, Che Ngah bersama-sama ahli jawatankuasa Halwa DUN Rhu Rendang menziarahi lima buah rumah, warga DUN Rendang yang sakit dan uzur.

Ziarah kebajikan ini merupakan aktiviti wajib beliau yang sentiasa mengambil berat dan prihatin dengan kesusahan yang menimpa para penduduk Rhu Rendang.

Antara rumah yang diziarahi adalah bekas ahli jawatankuasa Halwa DUN, Puan Wan Roslida Wan Mohamad @ Yusof, yang diuji dengan sakit Kanser paru-paru tahap 4.

Bekas aktivis parti itu merupakan seorang muslimat yang komited serta merupakan bekas AJK Muslimat DUN serta Muslimat cawangan Kelulut.

“Kita dukacita dengan penderitaan yang dihadapi oleh sahabat lama kita ini. Penyakit yang baru dikesan pada Julai lepas rupa-rupanya telah lama merebak dan kini kian parah, ” ujar Puan Hajjah Azizah Mohd Yusof, Ketua Halwa DUN Ru Rendang ketika ditemui pada Ahad 15 November.

Suami Puan Wan Roslida, Encik Noraslam Jaafar juga merupakan aktivis yang banyak bersusah payah mencari rezeki menyara keluarga dan menampung urusan kesihatan beliau.

Mempunyai anak seramai 9 orang serta pendapatan yang ‘biasa-biasa’ sahaja begitu menguji mereka.

“Sebuah lagi rumah yang kami ziarahi adalah Puan Che Ruqayyah Mat Amin yang menghidap kencing manis. Beliau telah lama bertarung dengan penyakit ini.

“Suami beliau bekerja jauh di Pahang, dan terpaksa berulang-alik setiap minggu untuk memastikan kesihatan beliau sentiasa terjaga,”tambah Puan Azizah.

Menurutnya, To’ Puan memberikan sumbangan kewangan mewakili ADUN Rhu Rendang kepada semua pesakit yang di ziarahi.

Beliau berkata, Halwa Rhu Rendang akan sentiasa istiqamah menziarahi dan membantu penduduk, dari semasa ke semasa, supaya kebajikan mereka dapat di jaga.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa DUN, terutamanya Lajnah Kebajikan yang sentiasa pro-aktif melakukan ziarah.

Beliau mendoakan agar mereka yang diuji tabah dengan ujian yang menimpa.

Bagi pihak beliau pula, Halwa dun menjemput sesiapa sahaja yang sudi untuk membantu para pesakit, atau menyumbangkan kewangan bagi memenuhi dana untuk aktiviti kebajikan.