OLeh : NHA
“Kami sentiasa bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja (NGO) untuk menyumbang kepada masyarakat, ” ujar Pengerusi We Care Marang, Puan Raihani Ibrahim.
Keterujaan beliau jelas digambarkan ketika berucap di dalam program sulung kerjasama We Care Marang dengan Karyawan Terengganu di kediaman Tuan Haji Ismail Jejaka di Kubang Panjang, Kuala Terengganu pada Khamis, 12 November baru-baru ini.


Dalam pada itu, Encik Wan Rosmadi Wan Embong yang merupakan Pengerusi Karyawan Terengganu juga berbesar hati hadir merasmikan program kerjasama dua NGO tersebut. Beliau yang ditemani Setiausaha Karyawan Terengganu, Encik Zulkifli mengambil peluang menerangkan peranan Karyawan yang baru diterajui beliau pada 1 Mei yang lepas.
“Karyawan terbuka kepada semua penggiat seni, bukan hanya bergelar pelakon atau penyanyi. Para penyajak, pelukis mahupun pengukir boleh menyertai kami. Malah, orang bukan dari bidang seni juga boleh bersama-sama kami, asalkan minat dan bersedia untuk membantu menggerakkan NGO ini,” ujar beliau yang mesra dipanggil Encik Wan.
Karyawan sekarang giat mengumpulkan seberapa ramai penggiat seni di seluruh Terengganu. Menurut beliau, keanggotaan Karyawan Terengganu terkini seramai 70 orang. Ketika pelancaran NGO ini Mei lepas, keahlian ketika itu 40 orang.


“Dari segi hiburan pula, kami mahu memastikan aktiviti hiburan dan kesenian yang dilakukan bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, tetapi yang lebih penting adalah mematuhi syariat.”
Encik Wan juga menekankan bahawa Karyawan bukan hanya terlibat dengan aktiviti melibatkan hiburan sahaja. Fokus mereka adalah luas meliputi kebajikan, kesenian dan kraftangan seperti seni teater, batik dan pelbagai lagi.
Sehubungan itu, kedua-dua NGO tersebut telah merangka beberapa pertemuan dan program bagi menjayakan projek kebajikan bersama seterusnya. Mereka mengharapkan agar kerjasama mereka memberi impak yang positif dan lebih berkesan kepada masyarakat.




























