Caj Cuci Gigi Di Klinik Kerajaan Lebih Mahal Dari Klinik Swasta

39317

Seiring dengan kenaikan harga petrol sebanyak 20 sen dan diesel sebanyak 10 sen berkuatkuasa mulai esok, rakyat dikejutkan lagi dengan satu lagi beban tambahan.

Kenaikan caj rawatan pergigian di klinik-klinik kerajaan ini berlaku dengan sangat mendadak.

Merujuk kepada pekeliling dari Bahagian Kewangan Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 26 Januari 2017, caj cabutan gigi naik dari RM1 kepada RM15, caj cuci gigi naik dari RM2 kepada RM25 dan yang paling drastik kenaikannya caj cuci gigi naik dari RM2 kepada RM55.

Sebenarnya caj cuci gigi RM55 itu lebih mahal dari harga di klinik swasta sekitar RM50 sahaja.

Saya tidak pasti apakah rasionalnya di sebalik kenaikan mendadak ini kerana yang pastinya walaupun caj diambil dari pesakit, ianya tidak sama sekali mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam menyalurkan peruntukan kepada Bahagian Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan.

Mudah disebut, saya pinjam istilah yang digunakan seorang kawan dari bahagian kewangan sebuah hospital kerajaan, “caj yang diambil dari pesakit tak lepas untuk bayar bil elektrik klinik atau hospital.”

Apatah lagi kalau nak guna untuk bayar gaji kakitangan atau beli bahan-bahan perubatan. Lalu untuk apa pesakit di caj sebegini?

Dr Azman Ibrahim
Ketua Kebajikan PAS Terengganu
31 Januari 2017

________________________________________________________

CAJ RAWATAN GIGI KLINIK KERAJAAN NAIK MENDADAK MULAI 1 FEB 2017

a) Cabutan Gigi
Harga Lama : RM1
Harga Baru : RM15

b) Cuci Gigi
Harga Lama : RM 2
Harga Baru : RM 55

c) Tampalan
Harga Lama : RM2
Harga Baru : RM25

Pekeliling berkuatkuasa 1/2/2017

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

YBhg. Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan,

Dengan segala hormatnya saya diarah merujuk kepada surat pemberitahuan daripada Bahagian Kewangan bertarikh 26 Januari 2017 rujukan (24)KKM.400-9/1/3 Jld.2 berkaitan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha (KSU) Bil 4/2017 dan emel Bahagian ini bertarikh 26 Januari 2017 mengenai perkara di atas.

2. Sepertimana sedia maklum, kadar baharu bagi caj perubatan warganegara berdasarkan Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017 akan berkuatkuasa mulai 1 FEBRUARI 2017.

3. Walaubagaimanapun, caj yang melibatkan PERGIGIAN adalah ditangguhkan pelaksanaannya sehingga 1 MAC 2017. Surat pekeliling KSU mengenai pelaksanaan caj pergigian akan dikemukakan kelak. Kerjasama pihak YBhg. Datuk/Dato’/Datin/tuan/puan adalah dimohon untuk memaklumkan perkara ini kepada semua PTJ di bawah seliaan jabatan YBhg. Datuk/Dato’/Datin/tuan/puan masing-masing. Sebarang pertanyaan mengenai perkara ini bolehlah menghubungi Unit Hasil, Bahagian Kewangan, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-8883 2408 / 3063 / 2399 / 3078.

4. Segala kerjasama daripada pihak YBhg. Datuk/Dato’/Datin/tuan/puan dalam perkara ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Sekian, terima kasih.

Murni Rahayu binti Ahmad Anuar
Bahagian Kewangan
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-8883 3068
Faks : 03-8883 4364