Oleh; Ahmad Bukhari
Buku tulisan Dr Azman Ibrahim ini hadir tepat pada masanya ketika isu Syiah di Malaysia sedang hangat diperkatakan.
Berkelulusan Bachelor of Dental Surgery, University of Baghdad, penulis tampil mendedahkan pengalaman nyata bersama penganut Syiah selama enam tahun sepanjang perantauannya sebagai penuntut ilmu di bumi Iraq.
Dengan komposisi Iraq sebagai sebuah negara dengan majoriti penganut Syiah, pengalaman penulis mengharungi kehidupan di perantauan di sana dalam tempoh yang agak lama telah menghadirkan dimensi pengalaman yang sangat menarik untuk dikongsi.
Pendedahan berani tentang penyelewengan Syiah ini bukan bersandarkan kepada teori semata-mata tetapi lebih merujuk kepada apa yang dialami oleh penulis sendiri serta berdasarkan pemerhatian dan kajian di lapangan masyarakat.
Fakta-fakta ini dipersembahkan kepada pembaca melalui buku ini dengan begitu mudah, ringkas, realistik tanpa huraian yang meleret dan memberatkan.
Kaedah penghuraian ringan yang dicatatkan penulis memudahkan kita mengenali siapa penganut Syiah dari atas kefahaman yang mendalam serta pengkajian yang teliti, maka penulis berani menegaskan, “kalau sekiranya Syiah ini betul dan tak menyeleweng, maka saya akan jadi Syiah terlebih dahulu sebelum orang Melayu di Malaysia menganut Syiah!”
Membaca buku yang berorientasikan travelog ini, ianya bukan hanya sekadar catatan kisah perjalanan tetapi rangkumannya lebih dari itu.
Untuk seorang pelajar atau penuntut ilmu, buku ini adalah catatan kisah-kisah motivasi berdasarkan pengalaman nyata, bagaimana jalan kepayahan yang perlu ditempuh untuk mengapai sesuatu yang bernilai.
Tentunya tak ramai yang berpeluang menjadi pelajar Malaysia tunggal yang menuntut ilmu perubatan pergigian di sebuah universiti di negara asing. Tambahan pula dalam suasana peperangan dan sekatan ekonomi yang mencengkam kehidupan di segenap sudut.
Pembaca amat bertuah untuk bersama menelusuri denai pengalaman ini apabila memiliki buku yang hanya bernilai RM25.


Kesan tinggalan Perang Iran-Iraq selama lapan tahun dari 1980-1988 kepada kehidupan masyarakat setempat ada turut dihuraikan penulis mengambarkan bagaimana kehancuran natijah dari sesuatu peperangan akan kekal untuk suatu tempoh jangkamasa yang sangat lama.
Untuk mereka yang meminati penjelajahan ke tempat-tempat menarik, Iraq antara negara yang kaya dengan lokasi bersejarah yang sangat bernilai. Penulis mengajak pembaca untuk sama-sama mengenali bumi Dajlah dan Furat ini dari dekat.
Paling menarik, pengalaman menjadi satu-satunya anak Malaysia yang menuntut di College of Dentistry, University of Baghdad dikongsi bersama pembaca dengan bahasa yang santai, fakta-fakta yang mudah dihadam dan difahami menjadikan buku ini perlu dimiliki oleh setiap lapisan.
Kesimpulannya, ia bukan bahan bacaan yang berat untuk pembaca kategori umum dalam masa yang sama ianya bukan suatu yang remeh dan lekeh untuk seorang ahli ilmu.-MalaysianInsider






























