Bot Pelancong Terbalik; Penyelesaian Segera dan Jangka Panjang Amat Perlu Di Muara Sungai Merang

2243
Kemalangan bot terbalik berlaku sekitar jam 10.00 pagi Sabtu, 1o Mac

Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiu (DPPKS) terpanggil untuk menyuarakan suara hati warga nelayan dan pengusaha bot di muara Sungai Merang, Setiu yang berdepan dengan masalah muara yang cetek.

Apatah lagi kebimbangan masalah berkenaan telah mengakibatkan musibah menimpa sebuah bot pelancong yang terbalik semalam. Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Bagaimanapun, pengusaha bot terbabit mengalami kerugian yang tidak sedikit.

Isu muara sungai Merang ini bukanlah isu baru. Ini kerana muara sungai ini menjadi laluan keluar bot nelayan dan pelancong ke Pulau Redang dan pulau berdekatan. Saban tahun juga isu ini dihadapi oleh pengusaha bot dan nelayan. Alhamdulillah, tindakan menggali muara yang dilakukan pihak berwajib membantu sedikit sebanyak masalah.

Penumpan bot terpaksa berenang bagi menyelamatkan diri sebelum di selamatkan oleh sebuah bot lain

Namun, sampai bila permasalahan ini mahu diselesaikan dengan menggali atau mengorek pasir di muara sungai berkenaan? Kos yang dikeluarkan bukan sedikit, namun pasir kembali menutup muara sungai tersebut.

Keadaan di sana bertambah menyedihkan bila air surut. Bot tidak boleh keluar dan masuk. Kadangkala terpaksa menunggu beberapa jam sebelum keadaan mengizinkan. Bot pelancong terlepas trip. Aktiviti harian nelayan juga terhalang. Kesannya, pendapatan mereka menjadi tidak menentu

Sudah sampai masanya pihak berwajib seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merangka pelan jangka panjang bagi mengatasi masalah ini. Penyelesaian tersebut perlu memandangkan masyarakat pengusaha bot dan nelayan sangat bergantung kepada laluan bot yang baik.

Semoga penyelesaian yang baik dapat dicapai dan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

Muhammad Zaidan Abdullah
Ketua Pemuda DPPKS
11 Mac 2018