Besut ‘Pintu’ Gelombang Rakyat

2262

Oleh KAM

BESUT – Besut diharapkan agar boleh menjadi ‘pintu’ kepada gelombang rakyat terutama di kalangan anak-anak muda bagi membuat perubahan dalam pemerintahan negeri Terengganu.

Pesuruhjaya PASW Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata PAS cukup yakin dengan gelombang anak-anak muda membawa perubahan.

Katanya, Besut yang dikuasai oleh Umno memerintah negeri ini sama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat.

“Kita (PAS) harap Besut ini akan menjadi ‘pintu’ kepada gelombang rakyat. Dengan adanya gelombang perkembangan anak-anak muda, kita rasa kita boleh membuat perubahan untuk kita terus kembali ke Wisma Darul Iman.

“Apabila kita turun, menteri ada di sini, bekas Menteri Besar (Dato’ Seri Idris Jusoh) ada di sini. Banyak projek mega ada di sini seperti Taman Ilmu, Jertih Souq dengan kos berjuta-juta duit rakyat dibelanjakan.

“Tetapi, tidak sampai kepada rakyat dan masih banyak kemiskinan di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan satu Parlimen berada di bawah Barisan Nasional.

“Kerajaan yang memerintah pula kerajaan pusat yang sama dengan negeri (Terengganu) ini,” ujarnya ketika menyertai program ziarah sempena Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.5, di Unit Peti Undi (UPU) Amer, Kota Putra, Besut, pada Jumaat 24 Februari.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka berkata program Harap 3.5 adalah agenda pemimpin turun bertemu rakyat.

Ini penting, katanya bagi menyelami kehidupan masyarakat bawahan serta merasai denyut nadi rakyat.

“Kita (PAS) hendak dekati secara langsung dengan masyarakat supaya kepimpinan dapat turun terus kepada bawahan, supaya merasai sebenar denyut nadi masyarakat.

“Walau pun, Terengganu ini mendapat hasil sumber yang banyak tetapi setelah kita turun, kita dapati ada masyarakat rakyat yang tidak dapat mengecapi secara menyeluruh kenikmatan di negeri kita.

“Seolah-olah, ada diskriminasi kepada orang PAS dan sebagainya. Kita rasa benda ini tidak sepatutnya berlaku. Apabila kita memerintah kelak dan diberi peluang oleh rakyat memimpin, kita tahulah apa yang perlu kita buat untuk menunaikan amanah itu,” jelasnya.

Turut serta dalam lawatan itu, Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Besut, Siti Esah Awang Soh, Setiausaha Muslimat PAS Dun Jertih, Nasriah Awang dan Ketua Kebajikan Muslimat PAS Dungun, Sabariah Elias.