Bersama MN Mempertahankan PN

434

Apabila ditegaskan tajuk ini, ada kalangan yang menganggap PAS tidak ikhlas dalam politiknya. Demikian itulah kata-kata mereka yang tidak memahami makna ikhlas mengikut bahasa al-Quran.

Ikhlas ialah urusan Allah yang Maha Mengetahui isi hati dan sanubari manusia yang beramal, mengikut ukuran kepercayaan agamanya (Islam) semata-mata bagi mendapat keredaan Allah SWT. Sekalipun perbuatan tersebut dibenci oleh manusia yang tidak mengetahui hakikatnya yang sebenar.

Manusia hanyalah mengetahui apa yang dizahirkan sahaja, maka mereka sama sekali tidak boleh menentukan keikhlasan seseorang mahupun sesebuah kumpulan. Rasulullah SAW bersabda:

‌مَنِ ‌الْتَمَسَ ‌رِضَى ‌اللَّهِ ‌بِسَخَطِ ‌النَّاسِ ‌رَضِيَ ‌اللَّهُ ‌عَنْهُ، ‌وَأَرْضَى ‌النَّاسَ ‌عَنْهُ، ‌وَمَنِ ‌الْتَمَسَ ‌رِضَا ‌النَّاسِ ‌بِسَخَطِ ‌اللَّهِ ‌سَخَطَ ‌اللَّهُ ‌عَلَيْهِ، ‌وَأَسْخَطَ ‌عَلَيْهِ ‌النَّاسَ.

“Sesiapa yang mencari keredaan Allah dengan dimarahi oleh manusia, nescaya Allah meredainya; dan sesiapa mencari keredaan manusia dengan kemurkaan Allah, nescaya Allah murka terhadapnya dan dijadikan manusia juga memarahinya.” (Riwayat Ibn Hibban 276)

Perjuangan PAS bukanlah perjuangan atas dasar nasionalisme yang sempit (semangat kebangsaan menjadi aqidah perjuangan) kerana PAS ialah sebuah parti berlandaskan Islam menjadi aqidah perjuangannya.

Namun, semangat kebangsaan merupakan fitrah manusia yang tidak boleh dinafikan, tetapi tidak boleh sekali-kali menjadi aqidah perjuangan. Secara tegasnya, Islam ialah penyelamat bangsa dan manusia seluruhnya serta wajib berlaku adil kepada semua manusia.

Oleh itu, suatu bangsa tanpa Islam tidak selamat kerana mereka tidak akan berlaku adil kepada semua termasuklah terhadap bangsa hatta keluarga sendiri. Justeru, setiap bangsa hendaklah diselamatkan bersama Islam, bukan bangsanya sahaja.

Bangsa Melayu yang menegakkan Islam, maka akan terselamat bangsanya dan semua bangsa juga pasti akan selamat. Jika sekadar menyelamatkan bangsa Melayu sahaja tanpa acuan Islam, maka Melayu tidak akan selamat malah bangsa lain dalam masyarakat majmuk juga tidak akan selamat.

Hanya bangsa yang berpegang dengan Islam sahaja layak memimpin manusia masyarakat majmuk bersama Islam yang adil kepada semua. Allah SWT memberikan suatu amaran kepada bangsa Arab yang merupakan bangsa paling awal menerima Islam dan memimpin negara Islam pada permulaannya melalui firman-Nya:

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ٣٨

“Dan jika kalian berpaling (daripada Islam) nescaya Dia akan menggantikan kalian dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan sepertimana kalian.” (Surah Muhammad: 38)

Maka, negara besar Islam sepanjang 14 abad dipimpin oleh pelbagai bangsa yang silih berganti berjuang menegakkan Islam.

Di mana bumi kita berpijak, di situlah kita tegakkan Islam. Maka, masyarakat Malaysia yang didominasi oleh bangsa Melayu yang beragama Islam berusaha menyatukan bangsa Melayu bermula dengan penyatuan melalui tiga parti besar; UMNO dan Bersatu bersama PAS dalam gabungan Muafakat Nasional (MN). Sekiranya hanya disertai oleh PAS dan UMNO sahaja, gabungan tersebut tidak memadai.

Seterusnya bagi mengumpulkan pihak atau bangsa lain dalam masyarakat majmuk, maka PAS bertindak secara bersama menubuhkan Perikatan Nasional (PN) bagi memecahkan ‘asabiyyah kaum atau fanatik perkauman yang ditentang oleh PAS. Dahulu pernah dalam Muktamar Tahunan PAS pada tahun 1984 bertemakan ‘Menggempur Pemikiran ‘Asabiyyah’.

Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ.

“Bukan daripada kalangan kami sesiapa yang berdakwah (mengajak) atas dasar ‘asabiyyah ataupun kalangan yang berjuang atas dasar ‘asabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati atas dasar ‘asabiyyah.” (Riwayat Abu Dawud 5121)

‘Asabiyyah itu ialah fanatik dalam mempertahankan suatu kaum tanpa perhitungan antara benar dengan salah, baik dengan buruk, adil dengan zalim.

Maka, PAS tidak boleh diheret sekali-kali ke dalam lingkungan perkauman yang sempit. Justeru, PAS wajib memecahkan tembok yang cuba mempertahankan elemen perkauman. Jadi, Perikatan Nasional (PN) merupakan pemecahnya.

Dalam sifir politik bagi melakukan satu perubahan, perkara itu tidak akan dapat dicapai jika hanya melalui platform Muafakat Nasional (MN) sahaja yang melibatkan PAS dan UMNO semata-mata. Sehinggakan, dipersetujui bersama supaya satu perubahan atau reformasi politik dilakukan akibat daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang meletakkan dominasi bukan Islam dan Muslim yang tidak Islamik.

Bahkan, turut dipersetujui bersama untuk mengumpulkan seluruh ahli Parlimen Muslim secara keseluruhannya yang masih majoriti jumlahnya. Setelah itu, disertai oleh kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.

Hasilnya dimulakan dengan diadakan Himpunan Penyatuan Ummah melibatkan UMNO dan PAS yang dianjurkan secara bersama oleh dua buah parti pembangkang terbesar itu. Kemudian, diikuti pula oleh Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan oleh tokoh-tokoh ilmuwan. PAS pada waktu itu juga menyertainya dan mengajak UMNO bersama, walaupun pada awalnya mereka tidak bersetuju.

Hasil daripada kedua-dua himpunan tersebut telah berjaya mengumpulkan sejumlah ahli Parlimen yang cukup bagi membuat perubahan dengan menyelesaikan beberapa masalah dan krisis politik yang belum selesai.

Tonggak perubahan ialah kepimpinan yang didominasi oleh Muslim dan bukan Islam yang tidak ekstrem. Maka, untuk menjayakan perubahan tersebut mestilah melalui tiga parti Melayu yang besar jumlah ahli Parlimennya iaitu UMNO, Bersatu dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (Gabungan Parti Sarawak atau GPS). Jika hanya semata-mata jumlah ahli Parlimen UMNO dan PAS sahaja, sudah pasti tidak mencukupi jumlahnya.

PAS berpegang kepada keputusan untuk melebarkan Muafakat Nasional (MN) yang tidak terhad kepada PAS dan UMNO sahaja. Seterusnya melangsungkan kerjasama yang telah terjalin dalam masyarakat majmuk sejak merdeka dengan pembaharuan melalui penubuhan Perikatan Nasional (PN).

Agenda bagi memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) dalam kerajaan merupakan persetujuan bersama. Bahkan, bagi meneruskan kelangsungan perubahan juga mewajibkan semua parti bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) yang mengumpulkan parti-parti yang menerima asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan dan menolak mana-mana parti yang bertujuan selain daripada itu.

PAS pernah bersama UMNO menubuhkan Barisan Nasional (BN) yang sudah tidak berfungsi secara berasingan dan memerlukan tajdid (pembaharuan) terhadap BN yang telah ditolak dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Maka, Perikatan Nasional (PN) ialah pembaharuannya dalam bentuk yang lebih besar.

Justeru, PAS tidak boleh dikongkong dengan hanya bersama UMNO sahaja. Kita telah memulakan langkah dengan menubuhkan kerajaan bersama dalam gagasan Perikatan Nasional (PN) yang baru berada di peringkat permulaaan.

Oleh itu, perpaduan yang wujud ini jangan sekali-kali dirungkai di tengah-tengah perjalanan kerana sebab yang tidak berkaitan dengan peranan melangsungkan tugas islah (pembaikan dan pembetulan). Antara sebab-sebabnya seperti faktor peribadi atau pembahagian jawatan dalam kabinet kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah faktor sampingan sehingga menyebabkan PAS banyak berlembut dalam isu ini.

Firman Allah SWT:

إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ٨٨

“Aku tidak bermaksud kecuali bertujuan hendak melakukan islah (pembaikan) sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Hanya kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nya jualah aku kembali.” (Surah Hud: 88)

PAS berpegang kepada asas yang menjadi pegangannya iaitu prinsip dan konsep politik Islam yang berbeza dengan nasionalisme sekular yang bercanggah dengan Perlembagaan PAS. Dalam keadaan PAS tidak tergelincir ataupun meninggalkan konsep Islam Memimpin dan menyelesaikan masalah negara. Pada masa yang sama, tidak meninggalkan bangsa Melayu dan bukan Melayu Islam serta tidak meninggalkan bukan Islam dalam masyarakat majmuk.

PAS ingin bertanya, mengapa kalangan bukan Islam tidak boleh menerima Islam sebagai penyelesaian masalah dunia, padahal mereka berjuang untuk menegakkan ideologi kanan dan kiri, sehinggakan ideologi paling ekstrem yang diciptakan oleh kalangan bukan daripada kaum atau bangsa malah tidak seagama dengan mereka?

Mereka mendukung ideologi paling liberal kanannya yang paling ekstrem seperti mengharuskan perbuatan LGBT dan sebagainya yang sedang menunjukkan tanda-tanda merudum. Malah, ada juga yang berfahaman sosialis, sehingga ideologi komunis paling kirinya yang telah merudum dalam arena politik kini.

PAS mahukan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT dan diredhai-Nya, walaupun pada hari ini manusia tidak meredhainya. Namun, PAS tetap yakin bahawa kebenaran akan tetap berjaya pada akhirnya, walaupun memakan masa yang lama dan beberapa generasi.

Firman Allah SWT:

﴿وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ٥٥﴾

“Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dalam kalangan kalian (wahai umat Muhammad), bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka yang berkuasa; dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama Islam yang telah diredai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan mengubah keadaan mereka dalam ketakutan (dengan ancaman musuh) kepada keamanan. Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur (tidak bersyukur) ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq (derhaka).” (Surah al-Nur: 55)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 28 Jumadal Ula 1443 / 2 Januari 2022