Berita Gembira Untuk Generasi Baru Felda Terengganu

7192
Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Felda Neram 1 siap sepenuhnya akhir 2013 akan diagihkan segera

Oleh : Rohayati Ripin

KEMAMAN – 105 orang generasi baru Felda Neram 1 bakal menerima rumah masing-masing apabila proses akhir penyerahan dilakukan oleh Felda Properties kepada kerajaan negeri Terengganu diselesaikan.

Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Air Putih Cikgu Razak Ibrahim berkata, rumah yang telah lama disiapkan akan diserahkan dalam masa tidak berapa lama lagi.

“Isu rumah generasi kedua (yang sudah) lama siap sekarang ini dalam proses 105 unit diperingkat DUN kita dah selesai nama-nama kita beri kepada Felda Properties kemudian (melalui) EXCO perumahan.

“Cuma tunggu sahaja proses Felda sebab dibawah GSA (Akta Penempatan Berkelompok) dia dalam proses menyerah balik kepada kerajaanlah, bila selesai insya Allah dalam masa tak berapa lama lagi akan di bagi kepada rakyat,” jelasnya.

Cikgu Razak Ibrahim

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata demikian ketika ditanya berkenaan perkembangan tujuh bulan pemerintahan PAS Terengganu, di sini pada Khamis, 17 Januari.

Sehubungan dengan itu, Timbalan Pengarah MTD Kemasik Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, seramai 44 orang peserta Felda Kerteh 5 akan menerima hak milik tanah masing-masing.

“Untuk Felda Kerteh 5 kita kenal pasti ada beberapa lagi lebih kurang 44 peserta yang masih belum dapat geran daripada dah berapa puluh tahun duduk situ.

“Alhamdulillah kita dah lulus dalam mesyuarat tanah yang terbaru untuk 44 orang peserta tadi la. Dalam masa terdekat selesai semua urusan berkenaan kita akan buat penyerahan,” ujarnya yang juga ADUN Kemasik.

Ir. Saiful Azmi Suhaili

Sementara itu, Penolong Setiausaha PAS Negeri Terengganu YB Haji Hanafiah Mat berkata, sembilan orang penduduk kampung Seri Bandi yang teraniaya oleh pemerintahan kerajaan dahulu akan dibela.

“Kelmarin (hari rabu) kita dah lulus kepada sembilan orang peserta tanah Felcra di Seri Bandi yang telah dizalimi oleh Ahmad Said (Mantan MB) sewaktu beliau beri dulu .

“Saya tak ingat berapa puluh orang tapi sembilan orang di keluarkan dan kecualikan (tidak diberikan) sebab dia ni orang PAS. Jadi kita dah usaha dan kelmarin Exco dah lulus tanah mereka,” tambahnya.

Justeru itu, beliau yang juga ADUN Chukai mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Negeri Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana berusaha membantu mendapatkan kembali tanah kepada peserta tanah di Felcra terbabit.