Oleh : KAM
KUALA NERUS – PAS Terengganu mengulangi rayuannya kepada rakyat agar memberi mandat kepada Parti itu dan memerintah bagi memperbetulkan kepincangan tadbir urus negeri dan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Pasu, Ustaz Ridzuan Hashim berkata Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak itu masih belum boleh meringankan tekanan hidup rakyat.
Menurutnya, meski pun pemberian BR1M kepada rakyat ditambah tetapi hanya berbentuk sementara sahaja.
Ini kerana, katanya negara bukan menghadapi kekurangan sumber tetapi dibelenggu masalah dalam mengurus tadbir negeri.


“Jadi ini yang kita (PAS) hendak perbetulkan jika rakyat memberi mandat kepada PAS pada Pilihan raya Umum (PRU) ke-14, Insya’Allah,” ujarnya ketika merasmikan ucapan penutup sempena program Karnival Wanita Dun Teluk Pasu, di Padang Bola, Kampung Buluh Gading, di sini pada 24 Oktober lalu.
Menurutnya, pemberian BR1M bukanlah secara total yang boleh meringankan tekanan hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat sekalian.
Katanya, pemberian BR1M yang mengikut kategori RM1000 atau RM800 dan RM400 itu hanya untuk setahun.
“Sedangkan diwaktu yang sama, kita (rakyat) menghadapi pelbagai kenaikan kos sara hidup.
“Kenaikan tol dan harga minyak (petrol) juga membebankan rakyat kerana akan berlaku kenaikan harga barangan yang dihantar oleh pembekal. Rakyat di peringkat bawahan juga terpaksa tanggung semua itu,” jelasnya.


Beliau berkata, PAS akan memerintah dengan dasar Islam kelak bagi menyelesaikan kemelut ekonomi dan sosial yang semakin teruk.
“Kita yakin sekiranya PAS diberi peluang untuk mentadbir dan mengurus negara, salah satunya dalam bidang ekonomi kita (PAS) akan dapat mengatasi kemelut yang ada ini kerana kita bawa Islam.
“Islam ini agama yang datang daripada Allah, dengan keberkatan Islam yang kita tegakkan maka rezeki akan datang mencurah-curah, Insya’Allah,” tegasnya dengan penuh yakin.
Justeru, pada majlis tersebut seramai 100 penerima sumbangan fakir miskin dan ibu tunggal masing-masing menerima wang tunai, beras serta barangan keperluan asas.





























