Belia Harus Cipta Sejarah  

1395
Para belia harus mencipta sejarah untuk diri masing-masing bahawa mereka mampu melakukan sesuatu yang mungkin tidak berupaya dilakukan oleh orang lain

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Para belia  harus mencipta sejarah untuk diri masing-masing bahawa mereka  mampu melakukan sesuatu yang mungkin tidak berupaya dilakukan oleh orang lain.

Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, mereka hendaklah memberikan sesuatu yang berguna bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga bahkan mengharumkan nama negara.

“Kita ingin wujudkan belia yang  berdaya saing… belia yang beri maklumat…belia yang  ‘alert’ kepada perkembangan semasa… belia yang  mempunyai sifat berdikari dan sentiasa peka dengan suasana yang berlaku disekeliling.

“Dalam masa yang sama yang kita ingin melakukan program dalam pembinaan jati diri belia  yang di wujudkan dan  diadakan oleh pihak kerajaan.

“Dan kita kumpulkan belia ini serta memberikan mereka kesedaran supaya mereka  faham tentang masa depan dan kewajipan yang sepatutnya mereka lakukan untuk diri keluarga, negeri dan negara,” katanya.

Beliau yang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas pertemuan bersama Persatuan Peniaga Medan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Batu Buruk di Kelab Eksekutif Batu Buruk pada semalam, Khamis, 4 Oktober.

Katanya, beliau mencadangkan pihak kerajaan memperuntukkan bantuan untuk belia dengan mewujudkan tabung sukan digunakan bagi ‘maslahah’ yang diperlukan oleh ahli-ahli sukan  untuk ke luar negara.

Tambahnya, dengan itu mereka boleh membina kekuatan dan menstabilkan keupayaan mereka.

“Kita juga mengharapkan pihak kerajaan dapat memberikan penumpuan yang begitu serius kepada pembangunan sukan  di negeri Terengganu setelah kita menjuarai SUKMA 2018  baru-baru ini.

“Dan beberapa sukan fokus yang kita beri tumpuan  contohnya sukan berbasikal dan juga  beberapa sukan yang  punyai  keupayaan dan rekod sendiri sepertimana  sukan pelayaran dan sebagainya,” ujarnya.

Menurut beliau, pihak kerajaan harus mewujudkan  satu tempat untuk pembangunan sukan yang boleh menjadi pusat kepada semua ahli sukan negeri dalam apa jua bidang samada berkaitan dengan latihan, rawatan dan pemulihan yang diperlukan oleh setiap atlet.

“Kita mencadangkan akan memperkasakan  NGO seperti yang telah saya sebut dalam  persidangan DUN sebelum ini kita akan menjadikan Terengganu sebagai satu tempat tumpuan NG0 untuk beroperasi,” jelasnya lagi.