Umumnya, seluruh ahli PAS di Wilayah Persekutuan mengenali susuk tubuh Allahyarham. Beliau dikenali bukan sebagai seorang wakil rakyat yang disegani di Parlimen, mahupun sebagai seorang pimpinan kanan PAS. Namun, susuk tubuh yang berusia 59 tahun ini lebih dikenali dengan sifat dedikasi, tekun dan gigih dalam mempersiapkan segala urusan organisasi di Wilayah Persekutuan sebagai Setiausaha Kerja dan sebagai Setiausaha di PAS Kawasan Setiawangsa. Beliau lebih dikenali sebagai seorang amilin gerakan yang sedia menerima arahan pimpinan walau dalam apa jua keadaan. Urusan mesyuarat, makluman program, urus selia pejabat dan sebagainya antara tugas yang sinonim dengan beliau.
Ketika mesyuarat, beliaulah orang paling awal hadir untuk persiapan mesyuarat hinggalah jamuan ringan untuk ahli mesyuarat. Dan beliaulah orang paling akhir akan pulang untuk kemas pejabat sebelum pulang ke rumah. Tiada sifat bangga diri atau keegoan melakukan kerja kerja pejabat walaupun ramai lagi anak muda yang lebih bertenaga dan segar untuk melakukan untuk beliau.
Anak kelahiran Melaka ini telah menjadi ahli PAS semenjak 1988 iaitu lebih 25 tahun menjadi ahli dan pendukung PAS yang pada ketika itu dikenali sebagai PAS Kawasan Wangsa Maju. Selepas persempadanan semula pada tahun 2004, Parlimen Wangsa Maju dibahagi kepada dua iaitu Wangsa Maju dan Setiawangsa. Dengan usaha gigih beliau sebagai Setiausaha Penaja, maka tertubuhlah PAS Kawasan Setiawangsa yang sudah 10 tahun usianya sekarang.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan abang Din di kalangan pemuda juga antara orang kuat di sebalik tabir penubuhan Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiawangsa yang telah berjaya ditubuhkan pada tahun ini (2013). Terpancar kegembiraan arwah abang Din apabila perwakilan pemuda Setiawangsa dapat bersama-sama di Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan buat kali pertama. Ketika itu juga arwah abang Din merupakan Wakil AJK Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan sebagai pengendali pemilihan DPPWP 2013-15. Alhamdulillah, pemilihan berjalan sangat baik dibawah kendalian beliau bersama rakan rakan yang lain.
Kali terakhir arwah abang Din turun ke lapangan selepas berusaha keras membantu Parlimen Titiwangsa semasa PRU 13 adalah ketika PRK N.20 Sg. Limau. Walaupun beliau tidak beberapa sihat dan salah seorang anaknya baru keluar hospital kerana dijangkiti kuman kencing tikus, namun semangat jihad untuk mempertahankan kerusi di Dun Sg Limau tetap membara. Alhamdulillah UPU Simpang 3 Luar yang dibantu kontingen PAS Wilayah Persekutuan menang. Dan banyak lagi siri PRK kecil disertai beliau seperti Dun Tenang dan termasuklah Pilihanraya Negeri Sarawak.
Oleh yang demikian, saya mewakili Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyeru kita hadiahkan bacaan Al-Fatihah kepada arwah abang Din, dan kita doakan semoga rohnya ditempatkan di kalangan para solehin dan muttaqin.
Sesungguhnya, beliau wajar menjadi contoh kepada amilin PAS baik yang muda atau tua kerana kegigihan dan ketekunan beliau dalam melaksanakan arahan yang diberi oleh pimpinan tanpa mengenal penat dan lelah.
Tidak terkira jasa dan bakti beliau kepada PAS Wilayah Persekutuan, PAS Setiawangsa dan kawasan yang lain. Hanya Allah SWT yang akan mengganjari beliau di akhirat kelak.
Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan



























