Oleh KAM
SETIU: Ikrar, tekad dan nekad pihak Majlis Tindakan Dun (MTD) PAS Batu Rakit ‘merampas’ kembali kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit yang pernah dimenangi PAS pada tahun 1999.
Pengarahnya, Ustaz Nazari Alias berkata ungkapan pemimpin Umno dan Adun Barisan Nasional (BN) Batu Rakit mahu menguburkan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, menjadikan PAS lebih bersemangat.
Meski pun, katanya PAS tewas pada PRU13 dengan majoriti 1,600 undi tetapi masih yakin kemenangan boleh dicapai oleh parti.


“Pada PRU13 lalu, PAS kalah kepada calon Barisan Nasional (BN) dengan 1,600 undi. Pemimpin Umno umum akan ‘kuburkan’ PAS di Dun Batu Rakit pada PRU14.
“Bagi kita petugas PAS di Dun Batu Rakit ini tidak bersetuju dengan ungkapan itu dan tidak akan membiarkan BN menang dengan mudah pada pilihan raya akan datang.
“Itu (ungkapan) adalah satu cabaran bagi kita (PAS) dan akan menambahkan semangat untuk kita bekerja keras untuk menang semula.
“Hari ini kita (PAS) tunjukkan, Insya’Allah…berikrar untuk beri tentangan sekaligus mahu menafikan kemenangan mudah kepada BN.
“Nekad kita hendak rampas balik Dun Batu Rakit yang pernah kita (PAS) menang pada tahun 1999 lalu. Ini tekad dan azam kita yang sangat kuat,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pejabat MTD PAS Batu Rakit yang baharu, di Kampung Pancur Kuin, Padang Kemunting, Batu Rakit, Setiu pada 13 Ogos lalu.

Menurutnya, hasrat untuk menang itu bukan sekadar ‘omong-omong’ kosong tetapi perlu disusun dengan usaha dan strategi.
“Walau pun mungkin ada orang kata itu angan-angan tetapi bagi kita (PAS), Insya’Allah tidak ada sebab yang kita tidak boleh menang dengan izin Allah SWT.
“Dengan usaha yang bersungguh, berstrategi dan munajat kepada Allah Ta’ala tidak mustahil kemenangan boleh dicapai.
“Bukti kita bersungguh sekarang ini dengan kita sewa bangunan baharu untuk buat pejabat MTD PAS Batu Rakit, ada Setiausaha Kerja yang baharu untuk bantu kerja-kerja parti,
“kita lancar tabung (pilihan raya) menuju ke Wisma Darul Iman, pelancaran 3B Harakah peringkat Dun Batu Rakit iaitu Beli, Baca dan Beri serta penyerahan Ringgit to Ringgit (RtoR) dari MTD Batu Rakit kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu,” jelasnya.
Bangunan pejabat itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dengan disaksikan oleh Yang Dipertua PAS (YDP) Setiu, Ustaz Shaari Zulkarnain Abdul Kadir.
Hadir sama pada majlis tersebut Bendahari PAS Setiu, Ustaz Mohd Pauzi Muda dan Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran GK.





























