Oleh : Dr Suhazeli Abdullah
Hari ini rombongan berjaya melaksanakan penyembelihan binatang qurban bermula jam 8 pagi. Daging-daging qurban dibahagikan kepada penduduk dhaif sekitar pantai Basilan. Tony yang juga mewakili United Bangsamoro Justice Party (UBJP) berkata bahawa perkampungan tersebut adalah penempatan yang diberikan kepada penduduk yang terbakar rumah mereka sekitar beberapa tahun lalu.
Pemberian geran tanah kekal di kawasan bukit tidak dapat dilaksanakan selagi tanah adat Bangsamoro tidak diberikan hak secara undang-undang oleh Manila. Prosesnya amat rumit. Mereka cuma dibenarkan berada di tepi pantai dan hidup dalam rumah air.


Tanah untuk tanaman getah dan sawit amat luas untuk diusahakan. Selain itu, sumber petroleum dikatakan wujud di kepulauan Mindanao dan Sulu, cuma belum diterokai sepenuhnya kerana suasana gawat yang berlaku di perairan sana.
Kami kemudian, membuat kunjungan hormat ke rumah Ustaz Dr Mujahid, Timbalan Presiden Majlis Ulama Basilan dan Pegawai Eksekutif Darul Iftah ARMM yang berasal dari Basilan. Beliau fasih berbahasa Arab dan English, berkelulusan dari Libya. Begitu bersemangat beliau mengutarakan idea penyatuan ummah dan Bangsamoro. Beliau adalah antara ulama penting dalam proses pembangunan semula Mindanao terutamanya di era peralihan kuasa autonomi antara Bangsamoro dan Manila.


Semoga Basilan terus maju dan berkat.
***Catatan Dr Suhazeli Abdullah yang sedang mengetuai Misi Korban Dan Khidmat Sosial, Iman Care, di Basilan Mindanao.






























