Bantahan Kenaikan Harga Lesen Kereta dan Motosikal

3152

Pemuda PAS Malaysia (PPM) mengambilmaklum tersebarnya info secara meluas di alam media sosial berkenaan kenaikan harga lesen kereta dan motosikal bermula 14 Julai 2014. Sehingga kini masih belum ada penjelasan rasmi oleh pihak berkuasa khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Justeru, kami pihak PPM mendesak pihak terbabit memperjelaskan akan kesahihan berita tersebut. Sekiranya benar kenaikan itu berlaku, pihak kami mendesak agar ianya ditarikbalik kerana kenaikan itu sungguh membebankan khususnya golongan anak muda dan yang berpendapatan rendah. Difahamkan bahawa Lesen Kelas D (Kereta) RM 1300 akan naik ke RM 2000 manakala Lesen Kelas B2 (Motor) RM 600 (termasuk yuran lesen) akan naik ke RM 1050.

Bukankah kenaikan sebanyak 54% dan 75% ini adalah suatu yang begitu drastik dan melampau. Dalam keadaan rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi kini siri penderitaan rakyat terus bertambah pula dengan khabar kenaikan harga lesen kenderaaan. Pastinya bagi mereka yang sudah pun berhasrat untuk membuat lesen terpaksa menangguhkan atau membatalkan dahulu niat tersebut dek kerana kekangan kewangan yang tidak mengizinkan.

Pihak PPM mendesak pihak kerajaan khususnya Menteri Pengangkutan yang baru, Datuk Seri Liow Tiong Lai agar memberi perhatian serius berkenaan bantahan rakyat terhadap kenaikan ini dan sekaligus menarikbalik keputusan tersebut agar selaras dengan janji dan slogan yang sering dicanang oleh pemimpin Barisan Nasional iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Ir. Haji Khairil Nizam Khirudin
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia