Banjir; Rakyat Trauma, Petani Rugi, Nelayan Hilang Pendapatan Tapi Usul PAS Ditolak

1987

Media dan akhbar melaporkan, rakyat trauma kerana banjir, petani rugi tanaman rosak, penoreh getah tidak boleh keluar bekerja, nelayan tidak dapat turun menangkap ikan dan kerugian ditanggung oleh rakyat dalam kampung Air Putih Kemaman sahaja sudah sebanyak RM7 juta

Rakyat Trauma

Ketua Jabatan & Psikiatri, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Tuan Sharipah Tuan Hadi berkata, bencana seperti banjir membawa bersama-samanya kesan berbentuk nyata dan tidak nyata.

Menurutnya, kesan nyata antara lainnya ialah seperti kerosakan harta benda, pencemaran, kematian, manakala kesan tidak nyata boleh berlaku dalam konteks kesan psikologi, emosi dan mental (fikiran).

“Setiap individu akan mengalami perasaan berbeza-beza. Sekiranya mangsa mempunyai sumber kewangan atau simpanan mencukupi untuk mereka membina semula kehidupan (mereka), kehilangan harta-benda akibat bencana ini tidak begitu terkesan.

“Namun bagi golongan tertentu seperti warga emas, kanak-kanak, dan masyarakat berpendapatan rendah, bencana seperti banjir boleh mengganggu kehidupan dan mengalami trauma jika tidak ditangani dengan baik.

“Walau apa pun, kita berbalik kepada agama (kita), dan anggap ia adalah ujian. Semua perlu berfikir positif dan anggap bencana yang menimpa ini sebagai salah satu ujian dalam perjalanan hidup,” katanya kepada Sinar Harian.

Petani Hilang Sumber Pendapatan

IMG-20131211-WA0013Kehidupan seorang petani wanita, Zaleha Ali sekeluarga yang bergantung kepada hasil pertanian tetapi tanaman yang diusahakannya terjejas akibat banjir dan menyukarkan beliau menguruskan kehidupan serta persekolahan anak-anaknya selain keperluan suaminya Baharom Bakar yang lumpuh.

Kata Zaleha, bencana banjir tahun ini menguji ketabahannya kerana hasil tanamannya seperti sawi, timun dan kacang musnah akibat banjir dan pada masa yang sama keperluan suaminya yang lumpuh akibat kemalangan lima tahun lalu serta tujuh anaknya perlu dipenuhi.

“Perbelanjaan suami mencecah RM150 sebulan untuk membeli ubat dan lampin pakai buangnya manakala lima daripada tujuh anak saya perlu bersekolah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di balai raya Seberang Tayor Hulu DUN Air Putih.

Zaleha berkata demi anak-anaknya, dia akan menjual barang kemasnya bagi memastikan lima anaknya dapat bersekolah memandangkan itu sahaja ikhtiar yang ada selepas hilang punca pendapatan.

“Dahulu saya mampu memperoleh RM50 sehari hasil jualan sayuran di pasar tetapi buat masa ini saya hanya bergantung hidup dengan wang bulanan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM350,” katanya.

Seorang Penoreh getah Mamat Ismail, 54, pula kehilangan punca pendapatan RM200 seminggu kerana tidak boleh menoreh.

“Saya bersama isteri dan empat anak hanya hidup atas wang simpanan yang memang saya peruntukkan setiap kali musim tengkujuh namun sampai bila saya harus bertahan dengan duit ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Nelayan Rugi

Seorang nelayan, Osman Mohamad, hilang mata pencarian bila banjir melanda, tetapi kali ini nasibnya lebih malang apabila bencana banjir memusnahkan rumahnya.

IMG-20131211-WA0012Warga emas berusia 72 tahun, yang juga anak jati Kampung Paya Berenjut di sini, memberitahu bahawa banjir yang melanda daerah Kemaman beberapa hari lalu adalah yang terburuk pernah dialaminya sejak 25 tahun. Rumah yang diwarisi daripada arwah bapanya itu digenangi air sehingga 1.5 meter.

Osman yang bergelumang dengan laut sejak menjadi nelayan kira-kira 50 tahun lalu berkata beliau terpaksa berpindah ke penempatan sementara di Dewan Orang Ramai Kampung Paya Berenjut, di sini, selama tiga hari minggu lepas.

Osman berkata selain rumahnya musnah secara keseluruhan, beliau juga kehilangan pendapatan RM100 sehari, daripada hasil tangkapan di laut.

Sementara itu, Roheli Yusuff, 54, berkata bencana banjir itu juga menyebabkan beliau kerugian kira-kira RM10,000 selepas bot nelayan kepunyaannya rosak teruk.

“Sekarang pakcik hilang mata pencarian, bot yang selalu digunakan ke laut rosak teruk…tak dicampur nilai rumah yang rosak, pakcik dah kerugian RM10,000,” katanya.

Sinar Harian juga melaporkan, Kerugian besar berjumlah lebih RM6.7 juta terpaksa ditanggung penduduk Kampung Air Putih apabila hampir keseluruhan 135 buah rumah di kampung itu ditenggelami banjir melepasi paras bumbung selain tiga buah rumah daripadanya musnah 100 peratus kerana hanyut dibawa arus.

ADUN PAS Bawa Usul

ADUN PAS yang prihatin dari Kawasan Rantau Abang Cikgu Alias Harun merasai denyut nadi masyarakat dan seluruh rakyat Terengganu lalu membawa usul pada hari Selasa ke dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Usulnya yang dibawa adalah cukup baik dan dalam keadaan waras meminta kerajaan membincangkan semasak-masaknya dan mengambil tindakan perlu membantu dan membela rakyat.

“Bahawa persidangan ini hendaklah ditangguh mengikut fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan yang mulia ini membincang dan merundingkan isu berhubung kejadian banjir yang telah melanda negeri ini sejak 3 Disember yang lalu, yang telah menenggelamkan hampir keseluruhan daerah Kemaman,

“sebahagian daerah Dungun dan juga daerah Hulu Terengganu, yang disahkan sebagai banjir yang paling buruk pernah melanda daerah Kemaman sejak 30 tahun yang lalu, dan telah menenggelamkan dan melumpuhkan Bandar Chukai, menyebabkan kesusahan kepada rakyat, dimana kejadian seburuk itu boleh dielakkan sekiranya kerajaan mengambil langkah persediaan yang lebih serius, terancang dan berkesan pada masa hadapan,”ujarnya Cikgu Alias ketika membentangkan usul tersebut pada 10 Disember lalu.

Pesuruhjaya PAS, YB Paka Ustaz Satiful Bahri mencadangkan supaya kerajaan negeri Terengganu yang kaya dan baru sahaja meluluskan bajet tahun 2014 sebanyak RM2.2 bilion memperuntukkan sejumlah kewangan untuk membantu rakyat yang terjejas kerana banbjir membina kehidupan mereka semula.

Beliau menegaskan bantuan RM500 yang diumumkan Perdana Menteri adalah sangat sedikit dan tidak memadai dengan apa yang ditanggung oleh rakyat kerana banjir.

Malangnya, di sebalik segala kesusahan yang ditanggung oleh rakyat, dalam keadaan rakyat trauma, petani rugi, nelayan hilang pendapatan, pemimpin Umno masih sombong dan bongkak.

Speaker Dewan YB Zubir Embong, yang juga pemimpin Umno Kuala Terengganu yang juga bekas pegawai pendidikan sepatut lebih waras dan rasional.

Namun begitu, kerana berpegang dengan ajaran Umno yang ‘berimankan’ bahawa pa yang dibawa oleh PAS semuanya tidak boleh ‘dipakai’ maka beliau menolak usul ADUN PAS.

Bagaimana kononnya Umno mahu muzakarah dengan PAS, sebaliknya perkara sekecil usul yang dibentangkan oleh ADUN PAS, demi untuk rakyat, ditolak mentah-mentah.

Pertimbangan apakah yang digunakan oleh pemimpin Umno menolak usul banjir itu???