Emma Maembong Bertudung, Rayu Bantuan Banjir

3827

Pelakon Emma Maembong yang mula tampil dengan imej bertudung dikuatkan lagi dengan beberapa gambar terkini Emma Maembong di Instagram yang turut menunjukkan pelakon ini manis mengenakan hijab.

“Memang sudah lama saya tanam niat, tapi niat saja kalau tak buat tak guna juga. Sekarang saya dalam proses belajar-belajar untuk bertudung penuh. Tapi kena perlahan-lahanlah,” ujar Emma Maembong kepada Harian Metro hari ini.

Menurut beliau lagi dek kerana sering mengenakan tudung untuk menjayakan watak dalam drama bersiri Projek Memikat Suami (PMS) dan Yes Boss!, beliau merasa semakin selesa untuk mengenakan tudung lebih kerap.

“Lagipun menutup aurat adalah tuntutan pada setiap wanita Muslim. Sama ada sekarang atau lambat-laun saya tetap akan bertudung juga,” tambahnya lagi

Walaupun masih sibuk di lokasi penggambaran, namun ia tidak menghalang niat suci anak kelahiran Che Siti Wan Kembang ini, untuk terus menghulurkan bantuan.

Menerusi laman Instagram miliknya, Emma Maembong, sempat memuat naik gambar puluhan kotak berisi barangan bantuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

“Terima kasih banyak-banyak bagi mereka yang sudi menghulurkan bantuan. Saya sangat terharu melihat komitmen yang diberikan, malah ada yang sanggup datang dari jauh untuk hantar bantuan ini.

“Insya-ALLAH, murah rezeki mereka ini. Bantuan yang diberikan masih berjalan, lepas satu, satu kereta yang sampai depan rumah.

“Alhamdulillah sangat terharu dan kami sekeluarga sangat seronok melihat sumbangan itu,” katanya yang mengakui akaun bank, Maybank miliknya telah disekat kerana terlalu banyak transaksi.

Tambah Emma, bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan, ia boleh disalurkan ke akaun bank, Maybank, atas nama kakaknya, Norhashimah Jaafar (164089757094).

“Jangan risau, satu sen pun kami adik beradik tak ambil. Ini adalah peluang untuk anda semua mendapat pahala.

“Langit bukan sentiasa cerah dan kita pun tak tahu bila hari kita pula. Takkan miskin orang yang bersedekah. Saya sangat-sangat merayu agar anda semua tampil membantu.

“Saya juga berharap agar keadaan di lokasi banjir itu akan pulih seperti sedia kala, Amin…,” katanya.